||::GENERASI AL-QURAN::||

"Ya Allah, terangilah hati kami dengan membaca Al-Quran. Hiasilah akhlaq kami dengan sinaran Al-Quran. Baikilah amalan kami dengan mengingati Al-Quran. Serikanlah wajah kami dengan berkat Al-Quran. Bebaskanlah kami dari api neraka dengan rahsia Al-Quran. Berilah hidayah untuk kami dengan petunjuk Al-Quran.Amin"

2006/11/20

Allahumaj'alna min Ahlil Quran...

Dah lama benar tak ziarah blog sendiri... terpaksa melupakan blog bila ada kerja lain yang lebih awla...

Apa cerita kali ini???


Berdamping dengan Ahlul-Quran, walaupun sebentar cuma, memadailah buat menyiram hatiku…

Mendengar pesanan dan tasyji’ daripada mereka… Terasa bagai air sejuk menyimbah hati yang gersang... cukuplah, membangkitkan semula hati yang kadang-kadang ‘down’ walaupun dengan ujian yang sedikit cuma… mari kongsi bersama


Pintu syurga itu ada lapan. Antaranya ialah pintu Rayyan. Dan antaranya lagi ialah pintu Al Quranul Karim. Hanya Ahlul Quran yang akan dapat masuk ke dalam syurga memaluinya. Pintu khas untuk Ahlul Quran, mereka itulah AhlulLah.

Nasihat khusus untuk pelajar: Cubalah sedaya upaya untuk menamatkan hafalan semasa belajar. Tugas dan tanggungjawab pelajaran tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menghalang hafalan Al-Quran. Kerja ini sepatutnya menjadikan seorang pelajar lebih tersusun, terancang, munazzomah dengan urusan hidupnya dan lebih menghargai masanya. Benar, tidak ada had umur untuk menghafal A-Quran, tapi, mesti ada hadaf dan target untuk tamatkan hafalan. Rebut peluang keemasan sementara masih bergelar pelajar, sebelum disibukkan dengan hal-hal lain setelah tamat belajar nanti- pekerjaan, keluarga, dsbnya.

Para huffaz adalah Du’atul-Quran. Pendakwah. Menghafal Al-Quran bukanlah sekadar menghafal huruf dan ayat, kerana, bukan sebarang ayat yang di hafal itu, tetapi ia adalah Kalam Ilahi, perutusan kenabian dan risalah untuk seluruh umat manusia hingga akhir zaman. Maka, peliharalah Al-Quran dalam dada dan sebarkan risalah Al-Quran ke serata alam, dengan akhlak yang mulia, kata-kata dan tingkah laku yang mencerminkan keperibadian Umat Muhammad yang dimuliakan dengan Islam dan Al-Quran.

Diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri, daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda, Allah berfirman yang bermaksud: “Sesiapa disibukkan dengan mengkaji Al-Quran dan menyebut namaKu, sehingga tidak sempat meminta padaKu, maka Aku berikan kepadanya sebaik-baik pemberian yang Aku berikan kepada orang-orang yang meminta. Dan keutamaan Kalam Allah s.w.t atas perkataan yang lain adalah seperti keutamaan Allah s.w.t atas makhlukNya”.

Ad-Darimi meriwayatkan dengan isnadnya dari Abdullah bin Mas’ud, daripada Nabi s.a.w yang bermaksud: “Bacalah Al-Quran kerana Allah s.w.t tidak menyeksa hati yang menghayati Al-Quran. Dan sesungguhnya Al-Quran ini adalah jamuan Allah, maka sesiapa yang masuk di dalamnya, dia pun aman. Dan siapa mencintai Al-Quran, maka berilah dia khabar gembira”.

Ya Allah bantu aku...

2006/07/29

Nostalgia Natrah

Disebuah desa yang permai
Kisah ini terjadi
Gadis yang berbudi
Pekertinya tinggi
Oh Natrah, nama di beri

Disebuah desa nan indah
Ditemani suami tercinta
Dan si ibu tua
Penuh nostalgia
Namun hanya sementara

Tiba-tiba…
Lembayung senja
Meragut segera iman dihatinya
Tiba-tiba…
Samudera ombak
Merempuh tembok hidayah dihatinya
Dan Natrah…
Dan Natrah menangis tersendu
Merenung suratan
Yang tak pernah diduga

Natrah kini dibawa pergi
Entah bila kan kembali
Tak upaya dia mengulangi
Kisah Masyitah yang tinggi
Hanya doa petunjuk Ilahi
Cinta kan bersemi lagi

Demi cita dan airmata
Kau harungi lautan ombak bergelora
Demi cinta yang terlara
Kau dijejaki lembah derita

Oh Natrah…
Andai kau mendengari
Suara hati kecilku ini
Ku pujuk rayumu
Agar kau sedari
Pintu hidayah terbuka lagi

Oh Natrah…
Tentu masih kau ingat
Syahadah… manisnya dibibirmu

Pulanglah…oh Natrah
Harumkan setanggi di pusara hidupmu.

-Al Wadi-

2006/07/22

CERPEN :

Cinta Isra'

Bas yang bertulis Raghadan itu berhenti. Betul-betul di tengah Bandar ‘Amman. Aku dan Bushra segera melangkah turun. Balad ‘Amman. Itulah tempat shopping kegemaranku dan Bushra. Di kepala masing-masing sudah ada senarai ole-ole yang akan dibeli untuk keluarga di Malaysia. Balad Amman ini kalau boleh ditasybihkan, mungkin seperti Chow Kit di KL. Tapi tentulah tidak sama walau bagaimanapun aku cuba menyamakannya.

Sedar tak sedar, sudah dua tahun aku dan sahabat-sahabatku menghirup udara bumi anbiya’ al-Urdun yang merupakan jiran Negara Palestin ini. Jadual penerbangan pulang kami sudah diatur. Kalau tak ada aral melintang, lagi dua minggu kami akan berangkat. Semakin hampir waktu pulang, semakin aku tak sabar. Dah lama benar tak kucup tangan ibu dan ayah, kak long dan abang ngah. Anak kak long, Affaf Sofeah, tentu dah besar, tentu dah boleh panggil aku- Cik Su! Cik Su dia yang comel ni. Aku tersenyum sendiri.

Senyumanku dimatikan oleh angin kuat yang mengerbangkan tudung kami. Mungkin angin selamat datang untuk musim saifi. Segera aku pegang tudung kejap-kejap. Namun bagi kebanyakan wanita Jordan, itu bukan masalah. Tudung mereka diselitkan di dalam jilbab, atau dipusing-pusing entah dua atau tiga kali, tentulah takkan mengerbang ditiup angin. Kami segera melangkah masuk ke kedai. Nak tengok ‘abayah untuk mak, kata Bushra.

Pantasnya masa berlalu bersama perubahan musim, dari rabi’ ke saifi. Bererti semakin hampir saat kepulangan kami ke tanah air. Maka semakin dekat jugalah saat perpisahan. Perpisahan, detik itu akan tiba. Kata orang, jangan salahkan perpisahan kerana pertemuanlah yang meyebabkan perpisahan. Maka, aku takkan salahkan perpisahan. Aku juga takkan salahkan pertemuan, malah aku bersyukur. Bumi Jordan ini telah merakamkan pertemuanku dengan universitiku. Universiti yang terletak di tengah-tengah padang pasir Az-Zarqa’ itu banyak memberi kenang-kenangan padaku . Aku pasti akan merinduinya nanti. Ah, rindukan universitikah atau rindukan ustaz di universiti itu? Hatiku menyindir. Ustaz ‘Amru- selama dua tahun ini nama itu singgah dihatiku. Perkenalan yang semusim cuma, membawa ingatan yang seumur lamanya. Ustaz ‘Amru! Aku takkan lupa kamu!

Dua tahun yang lepas, kedatanganku dan kawan-kawan ke markaz lughah di universiti itu disambut dengan Minggu Al-Quds atau Usbu’ Al-Quds yang dianjurkan para pelajar ketika itu. Langkahku dan kawan-kawan yang sedang mencari kelas terhenti mendengar satu suara. Ada suara merdu mendendangkan lagu. Datangnya dari mudarraj Al-Quds. Aku turut terpana. Tak tahulah mengapa. Mungkin kerana aku memang meminati nasyid-nasyid arab sejak dulu berbanding nasyid melayu. Nasyid arab ada keistimewaan tersendiri. Mungkin juga disebabkan darah arab yang mengalir dalam diriku. Datukku Jazaieri. Tapi Aku malu mengaku itu, kerana aku tidak mahir bertutur arab. Memahaminya mungkin boleh sedikit-sedikit. Yang tinggal padaku hanya nama. Namaku - Isra’, bukan nama Melayu. Nama itu gharib di tanah Melayu. Nama Jazaieriyyah barangkali. Lantas aku ke mari, menuntut bahasa Al-Quran itu.

Aku menghayati nasyid yang dialun merdu…
Dihening fajar,
ada ibu yang tenang,
menghantar anak ke medan juang,
mana anakku tak pulang hingga petang,
duhai angin khabarkan,
anakmu ibu syuhada’ terbilang.

Oh Ardul Isra’
Ardul-anbiya’
Ardul muqaddasah

Oh bumi, usah bersedih
Kelak kan pasti tiba
Nusrah dan janji Allah
Saat punahya zulmat
Dan sinar Islam dijulang bermartabat
Bumimu kan kembali berdaulat!

Rupanya, si pemilik suara merdu itu adalah Ustaz ‘Amru yang bakal mengajar kami. Aku
masih ingat tatkala Ustaz ‘Amru memperkenalkan dirinya, “Nama saya ‘Amru, saya berasal dari Nablus, Palestin. Oleh kerana tidak sesuai lagi tinggal di situ, saya dan keluarga berpindah ke Haifa dan kemudian ke ‘Amman”. Begitulah. Mudah saja Ustaz ‘Amru memperkenalkan diri. Tidak langsung disebut mengapa beliau berpindah. Barangkali beliau terlalu memandang naïf kepada kami, seolah-olah kami tidak tahu pergelutan yang berlaku di tanah Palestin, hingga menyebabkan mereka merasa terasing di rumah sendiri. Barangkali Ustaz ‘Amru kurang sedar bahawa kami juga seagama dengan ustaz. Dimana kiblat pertama ustaz, disitulah juga kiblat pertama kami - Al Quds. Atau barangkali ustaz menyembunyikan sesuatu dari kami. Ya! Sesuatu yang perit dan sukar diceritakan. Aku dapat saksikannya dari dalam mata Ustaz ‘Amru. Mata yang redup itu menyimpan ribuan cerita berdarah dan tragis…

Tapi dalam hatiku, ada tanda tanya dan ketidakpuasan. Mengapa perlu ustaz ‘Amru tinggalkan Palestin? Mengapa tinggalkan tanah air sendiri sedangkan ia sedang dijajah? Setahu aku, bukan sedikit muslimin Palestin yang meninggalkan negara mereka dan berhijrah ke Jordan. Malah jumlahnya semakin banyak dari tahun ke tahun. Pada hematku, ini tidak betul. Negara mereka adalah hak mereka. Hak mesti dipertahankan! Kaum muda seperti Ustaz ‘Amru sepatutnya berada di saf hadapan menentang kezaliman dan penindasan ke atas bangsa dan negara mereka. Apakah dan mengapakah Ustaz ‘Amru ini? Pelbagai persoalan timbul dalam benakku. Ada rasa ingin tahu dalam hatiku.

Seolah-olah ada chemistry, petang itu ketika dalam perjalanan pulang, aku dipertemukan dengan Ustaz ‘Amru di mujamma’ Zarqa’, tempat pertukaran bas. Segera aku mendekati Ustaz dan kuberikan sapaan salam. Usai menjawab salam, Ustaz ‘Amru segera menundukkan pandangan. ‘Menjaga’ juga rupanya Ustaz ini. Aku pula yang malu. Tapi, oleh kerana perasaan inkuiriku sangat tinggi, aku beranikan diri. Segala persoalan yang terpendam dalam benak fikiran aku ajukan bertubi-tubi padanya. Ustaz memandangku, tunduk kemudian diam. Jawapan yang ku tunggu namun dia hanya membatu. Tidak lama, Ustaz Amru mendongak tenang dan berkata, “Sabarlah Ukhti. Kamu pasti akan dapat jawapannya jika kamu gunakan pendengaran, penglihatan dan hati yang Allah berikan kepada kamu. Maaf, saya pergi dulu kerana bas sudah sampai. Ma’as salamah”. Aku ditinggalkan terkebil-kebil. Termangu aku berfikir. Pendengaran, penglihatan dan hati – as-sam’u, al basar dan al-qulub. Tiga perkara yang Allah sebutkan di dalam Al Quran jarang dimanfaatkan oleh manusia.

Bulan pertama di universiti, Aku mengikuti rombongan rehlah universiti. Kami ke mazar maqam syuhada’ mu’tah. Di situ, Ustaz Ahmad yang turut serta dalam rombongan bercerita tentang peperangan Mu’tah. Peperangan tersebut ajaib sekali. Tentera Muslimin yang hanya seramai 3000 orang, melawan tentera kuffar yang seramai 200 000 orang. Bererti, seorang tentera muslim berhadapan dengan hampir 70 orang tentera musyrikin. Ajib! Hanya lapan orang muslimin yang syahid dibunuh musyrikun. Merekalah syuhada’ mu’tah. Antaranya, Saidina Zaid ibnu Harithah, Saidina Abdullah ibnu Rawahah dan Saidina Ja’far ibnu Abi Talib. Tiga orang sahabat agung ini diamanahkan oleh Nabi s.a.w memegang panji-panji Islam - Andainya Zaid gugur, serahkan panji kepada Abdullah. Andai Abdullah gugur, serahkan panji kepada Ja’far. Andai Ja’far gugur, Khalid kamu pimpinlah angkatan ini. Dalam benar maksud pesan Rasulullah s.a.w itu hingga tiga syuhada’ agung itu sudah bersedia untuk mati. Tentu ada sesuatu dengan pesanan Rasul s.a.w. Benar sekali. Mereka syahid, dan Khalid Al Walid memimpin pasukan perang dengan membawa pulang kemenangan. Subhanallah, teknologi apakah pada zaman itu hingga baginda Rasul s.a.w tahu apa yang akan berlaku? Kalau teknologi hari ini mampu mengetahui banjir, gempa bumi dan ribut taufan yang akan melanda, teknologi Rasul itu telah mendahului teknologi hari ini. Hairan aku pada yang tidak mahu beriman kepada Rasululllah s.a.w. “Ya Allah, janganlah palingkan hati kami setelah Kau berikan hidayah kepada kami. Himpunkan kami bersama-sama hambaMu yang telah kau berikan nikmat ke atas mereka, dari kalangan para anbiya’, para syuhada’ dan para solihin. Amin.”

Selesai di makam, kami mengunjungi tempat berlakunya peperangan mu’tah. Belum habis aku menghayati cerita Ustaz Ahmad tentang syuhada’ mu’tah tadi, kali ini Ustaz ‘Amru pula memulakan kisah. “Saudaraku sekalian, disinilah tempat berlakunya peperangan pertama kaum muslimin menentang tentera Rom pada tahun ke-8 hijrah. Lihat tempat ini. Seluas dan sejauh mata memandang. Jalan yang dipenuhi bukit-bukit batu. Bayangkan tentera muslimin yang mengenderai kuda dari Makkah al-Mukarramah. Perjalanan yang beribu batu. Di padang pasir yang terik, tandus dan berdebu. Hebatnya kesabaran mereka itu! Saudaraku, bumi yang kalian sedang pijak ini pernah dipijak oleh para sahabat, para mujahidin dan para syuhada’. Disinilah mereka, 1418 tahun yang lalu. Sesungguhnya bumi ini bukan sebarang bumi. Ini bumi suci, bumi barakah, bumi yang yang melengkapi madinah al-Quds, seperti firmanNya dalam Surah Al-Isra’; ‘Maha suci Dia yang telah memperjalanan hambaNya (Muhammad) di malam hari, dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati sekelilingnya’. Nah! Bumi ini bumi barakah bukan? Bumi Jordan ini adalah sebahagian tanah yang mengelilingi al-Quds. Al-Quds sebenarnya tidak jauh dari kalian. Ia berada dekat dengan kalian dan berada dekat dengan hati orang-orang mukmin. Hendaknya janganlah ada diantara kalian yang masih tidak mengerti, seolah-olah tidak tahu apa-apa, tidak langsung merasai bumi suci itu adalah hak kalian. Tega melihat saudara seagama kita dizalimi. Tiada rasa marah melihat tanah itu dinodai. Ia adalah hak kita semua, umat Islam! Apa yang sedang kalian saksikan sekarang adalah bukti perjuangan umat terdahulu yang berkorban darah dan nyawa demi Islam. Mereka telah pergi, namun semangat mereka mesti kita warisi. Perjuangan di Palestin bukan semata-mata peperangan mempertahankan negara dan tanahair, tetapi sebenarnya peperangan sabil! Perjuangan menegakkan kalimah Allah dimuka bumi ini. Pertahankan Islam! Berkorbanlah walau hanya dengan perasaan, tenaga, masa atau harta. Yang pasti, Islam tetap tinggi!”

Begitulah Ustaz Amru, ustaz muda yang tak pernah jemu menceritakan tentang negaranya. Menyedarkan tentang tanggungjawab kami terhadap saudara sesama Islam. Malah, kata Ustaz Amru, beliau takkan jemu menceritakannya dan mengulanginya hingga seluruh muslimin yang dikenalinya mencintai Al-Quds sebagaimana dia mencintainya.

Satu hari di dalam kelas, aku ambil kesempatan bertanyakan satu soalan pada ustaz. Ustaz Amru memang sering memperuntukkan sedikit masa di akhir kelas bagi menjawab apa saja soalan kami, baik yang berkaitan dengan pelajaran atau pun sebaliknya. Aku ingin ustaz ceritakan, apakah sebenarnya yang menyebabkan tanah Palestin itu menjadi rebutan tiga agama samawi - Islam, Kristian dan Yahudi. Masing-masing mengaku lebih berhak ke atas tanah itu. Tetapi nampaknya sekarang ini Yahudi yang mendominasi dan berkuasa. Mereka menghalau penduduk-penduduk muslim yang merupakan penduduk asal tempat itu. Melampau sungguh. Jika Islam yang memerintah, penduduk yang bukan Islam juga akan diberi hak, selama mana mereka menunaikan kewajipan mereka sebagai dzimmi. Disitulah keadilan Islam.

Lalu Ustaz Amru menerangkan dengan ringkas bahawa orang kristian menganggap tempat itu sebagai tempat suci mereka kerana mereka percaya di situlah tempat kelahiran Jesus, di situ jugalah Jesus telah disalib dan bakal dibangkitkan kembali menjelang hari kiamat. Bagi orang Yahudi pula, mereka mendakwa kota itu adalah janji tuhan mereka untuk mereka dan disitulah bakal munculnya Isa Al-Masih yang mereka tunggu. Bagi orang Islam, Baitul Maqdis atau Al-Quds sangat istimewa kerana di situlah kiblat pertama umat Islam. Di situ Nabi s.a.w telah di isra’ mi’rajkan, di situ bumi para anbiya’ yang antaranya Nabi Ismail, Nabi Ishaq, Nabi Ya’qub, Nabi Syu’ib dan banyak lagi. Lebih dari itu, Allah s.w.t menjanjikan pahala 500 kali ganda bagi sesiapa yang solat di Masjidil Aqsa.

Ustaz Amru meneruskan lagi penerangannya, “Memang sekarang ini rejim zionis Yahudi telah berjaya meluaskan kuasa ke atas tanah itu. Sudah berlalu lebih 50 tahun sejak kemunculan Negara Israel. Dari sehalus-halus cara sehingga sekeras-kerasnya, semuanya telah mereka lakukan untuk memperluaskan kuasa. Mereka menipu manusia dengan slogan ‘a land without people for a people without land’. Lihatlah, mereka tidak menganggap bangsa arab yang tinggal di situ sebagai manusia pun! Pantas saja mereka memperlakukannnya sekehendak hati mereka. Manusia jenis apa yang tidak mengiktiraf manusia sebagai manusia? Haiwan pun mengenali bangsanya. Mereka itu lebih dahsyat daripada haiwan!

Sememangnya Allah s.w.t telah menganugerahkan tanah suci itu kepada bani israil yang merupakan kaum Nabi Musa yang Allah wahyukan Kitab Taurat kepada baginda. Tetapi kita mesti memahami bahawa penganugerahan tanah itu kepada mereka adalah bersyarat. Syaratnya ialah ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya, serta melakukan amal soleh”. Lalu Ustaz Amru bacakan ayat Al-Quran dari surah Al-Maidah, ayat 20-26 yang bermaksud :
“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: ‘Hai kaumku, ingatlah nikmat Allah atasmu ketika Dia mengangkat Nabi-nabi di antaramu, dan dijadikan-Nya kamu orang-orang merdeka dan diberikan-Nya kepadamu apa yang belum pernah diberikan-Nya kepada seorangpun di antara umat-umat yang lain (20). Hai kaumku, masuklah ke tanah suci (Palestin) yang telah ditentukan Allah kepadamu, dan janganlah kamu lari kebelakang (kerana takut kepada musuh), maka kamu menjadi orang-orang yang rugi (21). Mereka berkata: ‘Hai Musa, sesungguhnya dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa, sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka keluar daripadanya. Jika mereka keluar daripadanya, pasti kami akan memasukinya’ (22). Berkatalah dua orang di antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang telah diberikan nikmat atas kedua-duanya: ‘Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, maka apabila kamu memasukinya nescaya kamu akan menang. Dan kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman’ (23). Mereka berkata: ‘Hai Musa, kami sekali-kali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka ada di dalamnya, kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini saja’ (24). Berkata Musa: ‘Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku (Harun). Maka pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasiq itu’ (25). Allah berfirman: ‘Maka sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi (padang tiih) itu. Maka janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasiq itu’ (26).

“Itulah saatnya Allah mengharamkan tanah Palestin daripada bani israil, kaum yahudi, iaitu apabila mereka mengingkari perintah Allah dan rasul-Nya, Musa a.s. Maka sekarang setelah 40 tahun itu berlalu, adakah mereka layak menduduki tanah itu?” Ustaz Amru mengajukan soalan yang sudah pasti akan dijawabnya sendiri. Kemudian Ustaz Amru bacakan pula ayat 105 dari Surah Al-Anbiya’ yang bermaksud, “
Dan sesungguhnya telah kami tulis di dalam Zabur, sesudah (kami tulis) di dalam Az-Zikr, bahawa bumi ini dipusakai hamba-hamba-Ku yang soleh”.

Ustaz kemudian menerangkan, “Yang dimaksudkan dengan Kitab Zabur itu adalah kitab yang diturunkan kepada Nabi Daud a.s, dan Az-Zikr adalah merujuk kepada Kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa a.s. Manakala kalimah al-ard atau bumi merujuk kepada ardul-muqaddasah, iaitu Al-Quds. Allah mensyaratkan bahawa sesiapa yang mahu mewarisi bumi itu, mestilah kaum yang soleh, yang mengabdi diri pada Allah. Ia mesti dipimpin oleh mereka yang takutkan Allah dan melakukan kebaikan di muka bumi. Siapa orang yahudi atau Israel hari ini? Mereka syirik kepada Allah. Mereka mengubah kitab Taurat dengan tangan mereka agar sesuai dengan kehendak hati mereka. Mereka tidak mengimani Muhammad s.a.w itu pesuruh Allah. Mereka sombong, bongkak terhadap Allah s.w.t yang telah memberi banyak nikmat kepada mereka. Mereka melakukan fasad, memporak-perandakan manusia sejagat. Mereka zalim! Mereka membunuh manusia sesuka hati. Tidak ada satu tempat pun yang mereka diami di muka bumi ini, melainkan punah ranah tempat itu dek tangan-tangan kejam mereka. Di dalam Al-Quran sendiri, Allah Taala telah mengatakan bahawa mereka ini adalah bangsa yang membunuh para nabi dan selalu berbuat derhaka dan melampaui batas. Justeru, mereka tidak layak sama sekali mewarisi bumi barakah Al-Quds, yang merupakan bumi anbiya’ itu. Selama-lamanya mereka tidak layak. Bangsa yang hina takkan dapat menduduki tanah yang mulia”.

“Jadi, apa yang mesti kita lakukan ustaz?”. Seorang kawan yang duduk di sebelahku mengajukan soalan.

“Pertama, cintailah Al-Quds kerana dari cinta itulah akan lahirnya pengorbanan. Cintailah ia sebagaimana kamu mencintai Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah yang sentiasa dekat di hati kamu. Ketiga-tiga tempat inilah yang Rasulullah s.a.w sebutkan di dalam hadis yang mafhumnya; tidak digalakkan bersusah payah untuk rehlah kecuali ke tiga buah masjid; Masjidil Haram di Makkah, Masjidil Aqsa di Palestin dan Masjidin Nabawi di Madinah. Begitu juga, jihad dan perjuangan membebaskan Palestin tidak boleh dipandang ringan. Jika yahudi yang tinggal di US, Eropah atau Rusia dibenarkan membantu Israel, mengapa kita umat Islam tidak diberi kebebasan membantu dalam jihad secara langsung, malah yang membantu dianggap pengganas. Salahkah orang yang mempertahankan dirinya dan rumahnya daripada perompak? Salahkah orang yang membantu saudaranya mengusir perompak itu? Yang mempertahankan diri dan rumah, dan yang mempertahankan saudaranya, kedua-duanya di anggap pengganas. Perkataan jihad dan perjuangan menegakkan kalimah Allah dipandang sinis. Tetapi apabila seseorang bekerja kerana nama, pangkat dan harta, berkorban untuk menjadikan dirinya atau negaranya disanjung dunia, itulah yang dikatakan perjuangan yang sebenar, diberi kebebasan, penghormatan yang melampau-lampau, melebihi orang yang berjuang kerana agama. Sedarlah, jalan jihad itu bukan mudah. Malah ketakutan, kesakitan, kelaparan, kekurangan harta pakai, apalagi di anggap pengganas, adalah mahar yang wajib di bayar bagi mendapat syurga Allah.

Yang kedua, jika tidak mampu membantu secara langsung dalam jihad, bantulah dengan apa saja yang terdaya, khususnya sekarang ini, kerajaan Palestin sangat membutuhkan wang bagi melancarkan pentadbiran mereka, buat mengurus masyarakat dan memastikan pembangunan sosio-ekonominya. Untuk pengetahuan kamu, jumlah pengangguran di Palestin sejak 1948, iaitu sejak Yahudi mula memasuki Palestin sudah melebihi 350 000, dan jumlah sekolah yang rosak akibat perbuatan militan mereka sudah mencecah 850 buah. Malah bukan setakat itu, mereka juga menanggung beban hutang yang diwarisi dari kerajaan sebelumnya, yang mencapai 3 billion USD. Wang yang telah kita leburkan untuk kepentingan diri, berkali ganda banyaknya daripada kepentingan ummah. Infaqkanlah hartamu untuk mereka mengikut keupayaan kamu. Jangan nanti pada hari Allah kunci rapat mulut dan kaki kita manakala seluruh anggota kita menjadi saksi atas perbuatan kita di dunia, lalu Allah tanya ke mana wang kita dileburkan, kita hanya menggigil, ketakutan bagai mahu luruh kulit dari isi dan daging. Jika tidak mampu juga, berusahalah membuat orang yang berkemampuan menafkahkan harta mereka di jalan Allah. Jika tidak, kita akan jadi orang yang amat pentingkan diri sendiri. Hidup nafsi-nafsi dengan urusan sendiri, membiarkan kemungkaran dan kekejaman bermaharajalela.

Yang ketiga, perhati dan pelajarilah mesej dan petunjuk yang Allah sampaikan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah tentang tanah suci Al-Quds itu, tentang nasibnya dan peristiwa-peristiwa akhir zaman yang akan berlaku di situ dan di tanah-tanah sekitarnya. Ini termasuklah zaman kebangkitan semula Islam yang akan berpusat di situ. Sudah banyak buku yang menulis tentang itu, yang ditulis oleh orang-orang yang benar-benar mengkaji dan mendalami hadis-hadis dan peristiwa akhir zaman. Kita hanya tinggal membacanya sahaja. Itu pun masih dianggap susah. Bermula dari pembacaan, kamu akan faham. Jadi, kamu takkan berjuang dengan semangat semata-mata. Jika tidak, kamu akan mudah mengalah bila kamu susah. Banyakkan pembacaan dan tuntutlah ilmu, kemudian dakwahlah orang lain supaya turut sama tahu apa yang kamu tahu. Tugas dakwah jangan sekali-kali ditinggalkan. Siapapun kamu, di mana pun kamu, jawatan apa pun yang kamu sandang, berdakwahlah walau hanya dengan menunjukkan akhlaq yang mulia dan kata-kata yang mempamerkan syiar Islam. Jangan pula kita yang menjadi syiar pada rosaknya imej Islam. Jangan sekali-kali asingkan tugas dakwah daripada kehidupan kamu. Ingat, kerana wujudnya dakwah dan pendakwahlah kita masih dapat merasai nikmat Islam yang tulen meskipun sudah terpisah beribu tahun lamanya dengan baginda Rasul s.a.w.

Yang terakhir dan terpenting, pelihara iman dan taqwamu serta panjatkan doa yang sebanyak-banyaknya kepada Allah. Saya ingin bertanya, berapa kali kalian berdoa untuk kecemerlangan kalian dalam imtihan, dan berapa kali pula kalian berdoa untuk umat Islam? Tepuk dada, tanyalah iman. Jangan pentingkan diri sendiri. Luaskan doa kalian untuk seluruh muslimin dan muslimat seantero dunia. Mudah-mudahan Allah Ta’ala meluaskan keampunan dan rahmatnya ke atas kalian pada hari tiada siapa yang dapat menolong kalian melainkan Dia. Dengan iman, taqwa dan doa, umat Islam jadi kuat. Buktiya, bacalah Al-Quran, pelajarilah sejarah dan sirah, lihatlah betapa banyaknya kumpulan muslimin yang kecil mengalahkan kumpulan kafirun yang besar dan lengkap bersenjata. Semuanya berlaku dengan izin Allah”.

Kelas hari itu berakhir dengan pesanan bermakna daripada Ustaz Amru. Itu yang aku suka sangat tentang universiti ini. Di sini, ustaz-ustaznya bukan saja mengajar tapi lebih dari itu, mereka mendidik dan mentarbiyah. Keikhlasan hati mereka terpancar, hingga apa yang mereka sampaikan dari hati mereka yang ikhlas itu jatuh ke hati-hati kami yang mendengarnya. Hari itu aku pulang dengan sesuatu dalam hatiku. Aku jatuh cinta! Aku mahu cinta itu terus bertunas, berputik dan berkembang mekar lalu memberikan haruman yang semerbak baunya, bertebaran wangiannya ke seluruh jagat raya dan menghidupkan hati-hati manusia yang gersang, lantaran kemarau dari hujan iman.

Cinta itu membuat aku mahu terus meyelidiki dan mendalami. Justeru, pada satu musim bunga yang indah, sekali lagi aku mengikuti rombogan rehlah Jami’ah. Kali ini kami ke Qal’ah Ajloun atau Kubu Ajloun melihat jejak Salehuddin Al-Ayyubi. Terasa sejuk mencucuk, angin di puncak kubu ini. Kubu Ajloun ini adalah salah satu daripada tujuh kubu yang berperanan dalam penaklukan semula Palestin oleh Salehuddin Al Ayyubi. Strategi perang panglima ini hebat sungguh. Bayangkan, ketujuh-tujuh kubu tersebut berada dalam kedudukan mengelilingi Palestin. Biarpun berada beratus kilometer antara satu sama lain, setiap Qal’ah boleh berkomunikasi dengan Qal’ah yang lain. Bagaimana? Mereka guna isyarat api. Kata orang, dari puncak kubu Ajloun ini, kita boleh tengok tanah Palestin, Benarkah?

“Ustaz, dimana Palestin?” Aku mengambil kesempatan bertanyakan di mana arah negaranya kepada Ustaz ‘Amru yang berada di situ.

“Kamu nampak pencawang elektrik tu? Ada bukit yang setentang dengan pencawang itu. Bukit itulah sempadan Jordan-Palestin. Disebalik bukit itulah al-Quds. Dan ke kanan sedikit, Masjidil Aqsa”. Terang beliau. Ustaz ‘Amru tentulah arif dengan negaranya.

“Kamu tahu…”. Ustaz ‘Amru menyambung. “Suatu masa dahulu, pada setiap hari jumaat, penduduk Jordan akan berduyun-duyun pergi ke sana menunaikan Solat Jumaat. Begitu cerita yang pernah disampaikan oleh…oleh arwah ayahku”.

“Oh...ayah kamu…” Hanya itu saja yang terkeluar dari mulutku. Tidak pasti Ustaz ‘Amru dengar atau tidak. Hasrat di hati ingin terus bertanya. Tapi terbantut apabila ku lihat ada air bergenang di matanya. Aku tidak pasti apa yang disedihkan. Rindukan negaranyakah, atau rindukan bapanya? Apapun, mungkin terlalu banyak episod nestapa dalam hidupnya yang mengundang hiba. “Inna lilLahi wa inna ilaihi raji’un”.

“Pertama kali aku datang ke sini ialah semasa mula-mula aku berpindah ke ‘Amman bersama keluargaku. Ayahku membawaku ke sini. Masa itu aku masih kecil. Kata ayah, aku satu-satunya hero dikalangan adik-beradikku. Sudah tentu, kerana akulah satu-satunya anak lelaki ayah. Keenam-enam adikku yang lain semuanya perempuan. Ayah berpesan supaya menjaga ibuku dan adik-adikku biar apa pun yang terjadi. Dari sini, ayah tunjukkan padaku mana letaknya negara asal usul kami. Ayah pesan padaku, jangan lupakan tanah itu. Ia milikku. Ia milik orang Islam. Satu hari nanti, ia mesti menjadi hak milik orang Islam sepenuhnya. Waktu itu, ayah hanya beritahu padaku, dia akan sibuk berjuang, entah bila lagi dia akan dapat berbual denganku sebegitu.”

“Ayah kamu…err..hmm…” Aku mahu bertanya, tapi aku bimbang nanti tersalah kata pula.

“Tidak lama selepas itu ayahku meninggalkan aku, ibuku dan adik-adikku di sini. Semasa ayah pergi, aku lihat ibuku sungguh tenang. Dia tidak sedih langsung. Malah ibu memujukku yang memanggil-manggil ayahku supaya kembali. Ibu kesat air mataku. Jangan tumpahkan air mata kerana pemergian ayah. Kamu sepatutnya berbangga, bukan bersedih. Kamu mesti berbangga kerana kamu anak pejuang. Begitu yang ibu katakan padaku.” Cerita Ustaz Amru lagi.

“Rupanya ayahku adalah orang yang sangat dikehendaki puak Yahudi. Ayahku ketika itu adalah tentera Palestin yang ditugaskan mencari dan menangkap agen-agen perisikan rejim zionis”. Kata-kata itu menjawab soalan di fikiranku. Aku terkedu. Masya Allah. Ini kali pertama aku dengar sendiri dengan telingaku tentang kewujudan manusia seperti itu. Selama ini aku hanya membaca di buku atau akhbar. Hebatnya keberanian Abu ‘Amru itu. Rejim zionis jadi mainan hariannya. Bukan calang-calang orang boleh membuat kerja itu.

“Satu hari, seorang daripada rakan sepasukan ayahku tertangkap. Dia dipaksa oleh tentera Israel supaya memberitahu di mana ayahku berada. Dia enggan memberitahu, akibatnya dia di seksa mental dan fizikalnya dengan seksaan yang amat dahsyat, hingga akhirnya dia tidak mampu lagi menyembunyikan rahsia. Pada hari yang sama juga, tempat persembunyian ayah di kepung dengan dua puluh buah trak. Mereka meletupkan tempat itu bersama ayahku. Hairan ya, mereka hanya mahu menumpaskan seorang individu yang tak punya apa-apa pertahanan, datangnya dengan dua puluh buah trak. Mereka benar-benar pengecut. Mereka bukan apa-apa tanpa peralatan dan senjata”.

Ustaz ‘Amru menyambung lagi, “Mengikut kata pak cik yang menceritakan peristiwa ini pada ibuku, ayahku berpuasa pada hari itu. Ahamdulillah, tentu ayahku jadi tetamu syurga, menjamah hidangan berbuka yang kelazatannya tiada bandingan dengan nikmat di dunia ini sambil ditemani hurun-aien yang Allah janjikan buat para syuhada’”.

“Masya- Allah! Bukan sedikit rupanya pejuang Palestin yang seperti Syeikh Ahmad Yasin dan Dr Ar-Rantisi.” Kagum! Aku benar-benar kagum!

“Kamu tahu juga ya, tentang dua orang pemimpin hebat itu?”

“Ya, saya ada membaca tentang mereka. Saya berminat. Pergerakan dan kepimpinan mereka hebat sungguh. Saya amat mengagumi As-Syahid Sheikh Ahmad Yasin, pejuang berkerusi roda itu. Beliau tidak pernah takut apa-apa melainkan Allah Ta’ala. Baliau hanya mahukan redha Allah, seperti kata-katanya- amali an yardalLahu ‘anni, lantas seluruh hidupnya diserahkan dijalan Allah. Dipenjara hingga entah berapa kali. Meskipun keadaan beliau kurang upaya namun beliau sangat ditakuti kaum yahudi. Hingga akhirnya beliau syahid dibom puak yahudi, hancur berkecai seluruh tubuhnya kecuali wajahnyanya yang tersenyum. Begitu juga Al-Rantisi yang sangat mencita-citakan syahid. Allah mengabulkan impiannya apabila genap sebulan selepas dia menggantikan Sheikh Ahmad Yasin, dia mengikut jejak langkah pemimpin sebelumnya itu. Dialah as-syahid, al-hafiz, ad-duktur dan al-qaied. Tapi, saya paling kagum dengan kisah Zainab Al-Ghazali yang di Mesir itu, kerana dia seorang wanita, tapi menerima seksaan semasa di dalam penjara, yang belum tentu orang lelaki boleh menerimanya. Seksaan demi seksaan diterima hingga habis dayanya. Namun kesabarannya tinggi. Dibuang, dia rehlah. Dipenjara, dia uzlah. Munajat, pergantungan dan tawakkal pada Allah tak pernah ditinggalkan, hingga Allah membantunya dengan jalan yang ajaib dan tidak disangka-sangka. Saya dah baca semua pesanan Zainab Al-Ghazali untuk para wanita dalam bukunya - Ya Ibnati. Tapi Ustaz, kenapa ya, orang yang soleh-soleh dan baik-baik selalu meninggalkan kita lebih awal?”

“Kamu…oh…saya tak sangka minat kamu sungguh mendalam, Isra’. Kamu tak pernah menampakkan yang kamu tahu semua itu.” Ustaz Amru bersuara agak terkejut hingga soalanku dibiarkan saja berlalu. Mengapa pula harus pelik atau terkejut? Aku tidak faham. Bukankah itu yang selalu ustaz pesankan – ambil tahu tentang kaum muslimin.

Sesungguhnya, apa yang Ustaz ‘Amru ceritakan padaku membuat aku lebih memahami erti Islam yang aku anuti. Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya. Kehidupanku di tanah air terlalu mudah, senang, selesa. Sedangkan muslimin dan mujahidin di negara sana mengorbankan darah untuk Islam. Apa yang telah aku sumbangkan untuk Islam? Untuk memboikot barangan Israel saja amat susah. Mujurlah, Ustaz ‘Amru telah memberitahu di dalam kelas bahawa para ulama’ Islam telah mengeluarkan fatwa sejak bulan Januari 1953 bahawa wajib memboikot zionis dan sekutunya. Selepas ini, aku takkan sama sekali membeli lagi barangan mereka. Aku sudah sedar, setiap sen yang aku belanjakan buat membeli barangan mereka adalah peluru-peluru yang menembusi dada-dada saudara seislamku yang sedang diancam mereka.

Ustaz ‘Amru benar-benar telah menyedarkan aku. Dia menyedarkan aku dengan membuka lembaran kisah hidupnya. Aku yakin, yang belum diceritakan tentu lebih banyak lagi. Tekaanku benar . . .

Tika itu hanya tinggal seminggu saja lagi semester akan berakhir sebelum peperiksaan menjelang. Aku ingin tanya sesuatu kepada ustaz. Setelah membuat ulangkaji tentang qawa’id dan nahwu malam tadi, ada sesuatu yang memusykilkan kepalaku. Aku sangka aku telah faham semuanya di dalam kelas tetapi apabila membuat latihan malam tadi baru aku perasan ada beberapa perkara yang aku tidak tahu. Aku perlu mendapat penjelasan segera. Lalu aku mendaki tangga menuju ke bilik Ustaz ‘Amru. Kedatanganku disambut ramah oleh ustaz. Katanya, dia memang ingin berjumpa denganku. Ustaz Amru memberiku peluang bertanya kemusykilanku. Beliau kemudiannya menerangkan satu persatu, hingga aku faham semuanya. Rugi juga rasanya tidak mengajak kawan-kawan yang lain. Tapi, mungkin mereka sudah faham awal-awal, tidak sepertiku yang hanya mencari ustaz di saat-saat akhir menjelang peperiksaan. Lega rasanya bila masalah itu selesai.

“Sudah setakat mana pembacaan kamu, Isra’?” Ustaz bertanya.

“Err…hmm…sebenarnya saya baru saja mula membaca. Sebab itulah saya baru sedar bahawa banyak juga yang saya tak faham tentang qawaid dan nahwu ni”. Balasku malu. Apa nak buat, kenalah mengaku saja.

Ustaz Amru tersenyum. “Bukan pembacaan itu. Maksud saya, kamu kan suka membaca buku-buku selain buku pelajaran. Buku agama, sejarah dan sebagainya. Mungkin ada yang kamu mahu kongsi dengan saya?”
“Ohh”. Itu rupanya maksud Ustaz Amru. Bertanya biarlah jelas!
“Ya. Sekarang saya sedang membaca sebuah buku karangan Harun Yahya. Tajuknya ‘Evolution Deceit’. Tentang Darwinism dan penipuan teori evolusi Darwin. Tapi saya belum habis membacanya. Maklum saja Ustaz, peperiksaan tak lama lagi. Jadi, saya tumpukan pada peperiksaan dulu.”
“Kamu baca yang berbahasa Inggeris, ya? Bukankah buku beliau ada yang berbahasa arab?” Ustaz bertanya sambil tersenyum. Mungkin dia fikir aku tidak ingat pesannya – tambahkan perbendaharaan kata bahasa arab melalui pembacaan.
“Erk…” bukannya aku tak ingat pesan ustaz Amru. Tapi, mahu memahami konsep yang diterangkan oleh Harun Yahya itu saja memerlukan kefahaman yang tinggi. Apa lagi kalau berbahasa arab, entah bila baru boleh habis.
“Tak mengapalah. Kamu mahu membacanya pun sudah sangat bagus”. Bangga juga aku dengan pujian Ustaz Amru. “Kamu tahu, aku punya seorang adik yang seperti kamu. Dia juga suka membaca seperti kamu”.

“Di mana adik Ustaz sekarang?” Entah kenapa mudah saja mulutku bertanya. Pada mulanya tadi, aku berhajat mahu segera pulang setelah selesai munaqasyah dengan Ustaz ‘Amru.

“Ketika kami berpindah dari Haifa ke ‘Amman, tidak semua ahli keluargaku yang ikut pindah. Adikku tinggal di sana kerana nenek dan datukku enggan berpindah dari bumi tanah tumpah darah mereka. Kasihankan nenek dan datuk, lalu ibu titip adik perempuanku buat menemani mereka. Tinggallah mereka bertiga di sana, aku dan kedua ibu bapaku serta adik-adikku yang lain berhijrah ke sini.” Ustaz Amru begitu terbuka menceritakannya kepadaku.

“Satu hari, adikku ke sekolah seperti biasa. Bila saatnya dia patut pulang ke rumah, nenekku pun menunggunya. Namun bukan dia yang sampai ke rumah nenek tapi kawannya. Kawan adikku mambawa pulang ke rumah beg sekolahnya dan sepucuk surat buat nenek”.

Aku mendengar terus tanpa sepatah kata. Minatku bertambah.

“Buat datuk dan nenda tersayang, berbahagialah kalian kerana aku akan memberi khabar gembira buat kalian di akhir surat ini. Namun sebelum itu, ada perkara yang ingin ku sampaikan. Ingatkah datuk dan nenda beberapa hari lepas, aku tidak pulang ke rumah. Ku titipkan pesan bahawa aku bermalam di rumah sahabatku kerana diskusi ilmu. Ketahuilah datuk dan nenda, saat itu sebenarnya maruahku telah diragut. Kesucianku dinodai. Aku tergadai sudah. Mereka, tentera-tentera yahudi laknatullah itu yang telah melakukannya. Pagi itu, dalam perjalanan ke sekolah, aku ditahan oleh mereka. Mereka melakukannya! Mereka melakukannya pada cucumu ini. Kudratku tidak upaya melawan mereka. Aku tidak ke sekolah, lalu beberapa orang kawanku mencari jejakku. Mereka menjumpaiku yang sudah terkapar lemah di sebuah bangunan usang lantas mereka merawatku hingga akhirnya aku kembali bertenaga. Ku kuatkan azam untuk kembali ke rumah dan berlakon di hadapan datuk dan nenda seolah-olah tiada apa yang berlaku kerana Aku tidak mahu kalian berduka nestapa melihatku. Namun ketahuilah datuk dan nenda, hatiku menderita. Jiwaku parah, jasadku musnah. Benar, jiwaku menderita. Tapi mereka fikir, dengan merosakkan aku begitu, semangatku akan lemah? Mereka salah! Mereka hanya menyimbah minyak pada api yang sedang menyala. Datuk dan nenda, aku mencintai Islam agamaku, aku mecintai saudara-saudara seislamku lebih dari diriku sendiri. Seorang yahudi bangsat boleh merosakkan ratusan gadis muslimah seagama kita. Aku rela mengorbankan diriku asalkan saudara seagamaku dapatku selamatkan daripada menerima kecelakaan sepertiku. Seorang musuh terbunuh, bererti ratusan gadis muslimah terselamat. Dengan nama Allah Tuhan seru sekelian alam, aku rela nyawaku mejadi galang gantinya. Aku mahu kecutkan tentera-tentera laknat itu dengan keberanianku. Datuk dan nenda, mahkota kebanggaanku telah terkorban. Alang-alang terkorban, biar hingga nyawa dan darah kukorbankan! Izinkan cucunda menyusul jejak para istisyhadiyyat. Inilah saja sumbangan yang mampu ku lakukan. Aku sudah bosan hanya membaling batu dan mencaci hamun mereka dari belakang. Apa lagi yang mampu ku lakukan untuk membanteras kedurjanaan dan kezaliman dihadapan mata? Aku tidak punya wang buat membantu para pejuang di medan sana. Aku tidak punya apa-apa melainkan jasad dan roh yang amat rindukan syahid. Hatiku sudah kering melihat penderitaan dan kezaliman saban waktu. Andai tanganku berkuasa, aku mahu kumpulkan semua penguasa durjana itu dan kucincang lumat hingga tidak tersisa lagi tubuh dan hati mereka yang berajakan iblis. Datuk dan nenda, ku berpesan dengan pesannya Khadijah bintu Khuwailid- nyalakanlah obor dari tulang temulangku yang berbaki kelak, buat menerangi jalan perjuangan. Aku juga berpesan dengan pesannya As-Syahid Syed Qutb- jangan ditangisi pemergianku. Relakanlah rohku terbang mendapatkan rindunya. Salam pamitan buat kalian berdua yang kucintai – Isra’.”

“Aku kehilangan Isra’. Isra’ adikku”.

Apa?? Wajah Ustaz Amru ku renung. Mungkin aku tersalah dengar.

“Benar. Nama kamu sama seperti nama adikku. Aku telah kehilangan dia. Kehadiran kamu benar-benar mengingatkan aku pada adikku Isra’. Aku telah kehilangan Isra’ yang pertama. Kalau takdir bisa aku kuasai, aku tidak mahu kehilangan Isra’ yang kedua ini. Isra’, sudikah kamu menemani hidupku buat selamanya dan menjadi sayap kiri perjuanganku?”

Terkasima. Lidahku kelu. Benar-benar aku tidak menyangka ini. Ya Rabbi, apa yang harus ku katakan padanya? Aku tunduk terus. Tidak berani lagi memandang wajah Ustaz Amru. Ku renung jari jemariku dan pandanganku terhenti pada jari manisku. Apa Ustaz ini tidak nampakkah cincin itu? Seingatku, aku tidak pernah menanggalkannya dari jariku. Oh, Ustaz ini kan menjaga pandangan. Hampir terlupa aku akan itu.

“Aku faham, kamu tentu terkejut mendengar hasrat ini. Namun, ia benar-benar lahir dari hatiku yang ikhlas. Aku benar-benar inginkan seseorang yang memahami perjuanganku untuk menjadi suri hidupku. Aku tahu, kamu tentu memerlukan waktu untuk memikirkannya. Aku akan menunggu…”

“Nanti dulu Ustaz…”. Aku terpaksa memotong bicaranya. Tak mungkin aku memberi harapan pada Ustaz ‘Amru. “Saya hargai hasrat Ustaz itu. Saya tidak memerlukan masa untuk berfikir kerana saya sudah mempunyai jawapan”.

Aku menghela nafas panjang sambil fikiranku mula mengatur kata. “Saya ingin ustaz tahu, sepermukiman saya di bumi anbiya’ ini, saya telah memanfaatkan pendengaran, penglihatan dan hati saya untuk berfikir dan memahami setiap apa yang saya dengar, saya lihat dan saya rasa dengan pancaindera pemberian Allah pada saya. Saya telah laksanakan apa yang ustaz pesan di awal perkenalan kita dahulu. Lantas saya jatuh cinta. Saya cintakan perjuangan dan orang-orang yang berjuang meninggikan kalimah Allah. Saya rindu untuk menginfaqkan diri saya pada jalan Allah. Saya sudah nampak hikmahnya ustaz berada di kalangan kami dan menjadi guru kami. Saya bersyukur diberi peluang oleh Allah menjadi salah seorang anak didik ustaz. Jika ustaz tiada, siapa yang akan mengejutkan kami dari kelalaian dan kealpaan kami dalam mengambil berat tentang hal ehwal umat Islam. Maha Suci Allah yang memerintahkan umat Islam turun ke medan perang, berjuang menegakkan kalimah Allah, namun dalam masa yang sama, Allah perintahkan supaya ada segolongan umat Islam yang tafaqquh fid-din, menuntut ilmu agama agar mereka dapat memberi peringatan kepada masyarakatnya”.

Aku terdiam lagi. Bagaimana harus ku sambung bicaraku?

“Lalu apa putusanmu, Isra’?” Ustaz Amru menanti jawapanku.

“Memang saya telah jatuh cinta. Di sini saya mendapat cinta agung, cinta sejati. Cinta dalam hati saya lahir kerana adanya cinta dalam diri ustaz yang ikhlas mendidik kami semata-mata kerana Allah. Ustaz telah menunjukkan kepada saya cinta yang lebih mulia daripada cintanya sang jejaka terhadap si jelita.”.

Diam.

“Maafkan saya… ustaz menyunting mawar di jambangan orang. Saya akan menjadi sayap kiri pejuang Islam di tanah air saya”. Aku melafazkan kalimah itu satu persatu sambil tanganku mendakap fail. Mudah-mudahan Ustaz nampak cincin pertunangan di jariku.

Ada raut kekecewaan di wajahnya.

“Cinta Ustaz yang mendalam pada Islam melahirkan kecintaan dalam diri anak didik ustaz pada Islam. Saya cintakan Islam, saya cintakan Allah yang memberi nikmat Islam pada saya. Saya cintakan RasulNya yang menjadi utusan penyampai risalah Ilahi. Saya cintakan Allah dan Rasul melebihi segala-salanya. Saya cintakan saudara-saudara seagama saya walaupun saya tidak pernah mengenali mereka. Saya cintakan tugas dakwah. Itulah cinta saya. Cinta Isra’ “.

Sepatah pun Ustaz Amru tidak berkata.

“Mudah-mudahan gugurnya Isra’ yang pertama di ardul isra’ melahirkan ribuan lagi Isra’ di serata dunia. Meskipun Isra' yang pertama telah pergi, namun semangatnya akan terus mengalir dalam diri Isra' yang kedua. Mereka adalah dua Isra' yang berbeza, tapi punya cinta dan cita-cita yang sama. Izinkan saya pergi dulu. Assalamualaikum”.
“Wa’alaikumussalam warahmatulLah”. Itulah kali terakhir aku mendengar suara Ustaz ‘Amru.

“Anti tak nak beli ke ?” Ada suara di sebelahku.
“Oi, Isra’! Dari tadi asyik pegang, letak. Pegang, letak. Bila nak beli? Kalo tak nak beli bagus gak, Boleh jadi tukang angkat barang ana je”. Suara Bushra rupanya.
AstaghfirulLahal’adzim. Aku hanyut terlalu jauh dalam lamunanku.
“Nantila … bukan tak nak beli, tapi tengah pilih ‘abayah yang paling cantik sekali ni. Nak bagi bakal mak mertua la kata kan …”. Aku tersengih pada Bushra.
“Err... geddish hay, ya ‘ammu (berapa harga ni, pak cik)?”
“ ‘Ishreen”.
“Huh…letak harga sampai 20 dinar. Seratus ringgit lebih tu. Kalau sampai 20 dinar, lebih baik beli di Sweileh atau Zarqa’ saja, tak perlu hingga ke Amman”. Aku mengomel pada Bushra.
“Jangan risau…ana kan ada. Kalau harga tu tak leh turun sampai 10 dinar, ni bukan Bushra tau…” Kata-kata itu, meskipun berbaur riak, ada benarnya. Bab tawar-menawar dengan arab, memang dia akan menang. Itu kelebihannya yang mesti aku akui. Mana tidaknya, Bushra adalah antara kawanku yang paling pakar dalam loghat ‘ammiah atau bahasa pasar mereka. Siap dengan gayanya sekali, kadang kala ditambah lagi dengan ‘ya habibi’, macam manalah pak arab tak kalah.
Tapi, seandainya Bsshra kalah kali ini, aku takkan membeli ‘abayah itu. Sungguhpun nak hadiahkan pada bakal mak mertua, janganlah melampau-lampau sangat. Lagipun, tidak semudah itu meleburkan wang, kerana aku ada cinta dan cita-cita yang mahu aku kecapi.

TAMAT

tasybih - umpama
jilbab - jubah
‘abayah –jubah berwarna hitam
rabi’ – musim bunga
saifi – musim panas
markaz lughah – pusat bahasa
mudarraj – tempat duduk yang tersusun dari atas ke bawah, seperti colleseum
gharib - asing
Jazaieri – nisbah untuk Algeria, maksudnya orang Algeria
mazar – tempat ziarah
Ajib! - hairan
hurun-aien – bidadari syurga
istisyhadiyyat – menuntut syahid (pejuang berani mati)
al-qaied – pemimpin
munaqasyah - perbincangan
Alhamdulillah, akhirnya siap gak cerpen ni. Kepada sesiapa yang membaca, mudah-mudahan beroleh manfaat...

2006/06/28

Nuramirah, 10, hafalAl-Quran dalam masa 2 tahun.


Mari kita kongsi kaedah yang digunakan oleh ibu bapa Nuramirah dalam memantapkan bacaan dan hafazan anak-anaknya …

Bilangan ayat dalam Al-Quran – 6666 ayat*
Bilangan surah dalam Al-Quran – 114 surah
Bilangan juzuk dalam Al-Quran – 30 juzuk
Bilangan helaian dalam satu juzuk – 10 helai (20 mukasurat)
Bilangan helaian dalam 30 juzuk – 300 helai (600 mukasurat)

Bilangan hari dalam satu tahun – 360 hari

Bilangan tahun untuk meghafaz 30 juzuk Al-Quran:
(a) Tahap sederhana cepat :
(i) Satu hari satu helai (2 mukasurat) – 1 helai = 1 hari
300 helai = 300 hari
=setahun


(ii) Satu hari setengah helai (satu mukasurat) – 1 helai = 2 hari
300 helai = 600 hari
= 2 tahun

(b) Tahap biasa:

Satu hari , setengah muka surat – 1 helai = 4 hari
300 helai = 1200 hari
=3 tahun 4 bulan

Satu hari 1/3 mukasurat – 1 helai = 6 hari
300 helai = 1800 hari
= 5 tahun


(c) Tahap azam yang sangat kuat:
Satu hari satu ayat – 1 hari x 6666 ayat*
6666 hari
= 18 tahun 6 bulan

* 6666 adalah jumlah ayat Al-Quran yang biasa kita dengar. Walau bagaimanapun, mengikut pendapat yang masyhur di kalangan ulamaul ‘adad dalam kitab Faraidul Hisan, jumlah ayat Al-Quran ialah 6232. Saya mempelajari matan kitab ini dalam kelas fawasil yang diajar oleh Ustaz Adam Nuh Fofana di UIA.

Jadi sekarang ni, bila dah tau caranya, boleh la mulakan menghafal. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Kalau asyik beralasan saja, sampai bila-bila pun takkan dapat hafal. Satu hari satu ayat pun jadilah. Kalau sekarang umur anda 23 tahun, anda akan bergelar al-hafiz bila berumur 41 tahun nanti, Insya Allah. Masa itu, anda mungkin seorang pendidik, peguam, doktor, jurutera atau pemimpin negara…so, start now!

2006/06/24

Pengalaman Mangsa Gempa Yogya... ambillah iktibar!


Saya berkira-kira untuk tidak mahu online sehingga saya selesai menghabiskan buku yang saya sedang baca sekarang . Sebabnya, kalau dah online ni, bukannya tau nak online sekejap. Buku itu – Jerusalem in The Quran begitu menarik perhatian saya, hingga baju di ampaian pun terlupa diangkat sedangkan hujan telah lebat! Tapi, ada sesuatu yang menarik-narik saya untuk menulis juga di sini dan berkongsi sesuatu…
Hari Rabu lepas, selepas asar, saya menemani ibu ke kuliah mingguan. Petang itu ibu memberi pengisian untuk kuliah ibu-ibu di Masjid Kangar. Tapi, ada sesuatu yang lain pada petang itu. Ibu berceramah sebentar cuma. Selepas itu, Ibu menjemput Kak Hasnida, bekas anak murid ibu untuk menceritakan pengalamannya menjadi mangsa gempa bumi di Yogyakarta.
Kak Hasnida, pertama kali saya mengenalinya ialah ketika saya berada dalam tingkatan 2 di SMKAP. Kak Hasnida ketika itu sudah bertukar dari SMKAP ke SMKAA kerana melanjutkan pelajaran dalam bidang sains. Biarpun belajar di negeri yang sama, namun perkenalan kami bermula nun di negeri di bawah bayu, Sabah. Ketika itu kami mewakili sekolah dalam Ihtifal pelajar-pelajar sekolah agama peringkat Kebangsaan 1997. Saya dan Kak Nida ditempatkan di dorm yang sama. Sepanjang mengenalinya, ada sesuatu yang saya kagumi dengan kakak ini … kegigihannya…
Bicara kak Hasnida bermula dengan ucapan syukur yang tak terhingga kerana Allah masih memanjangkan umurnya dan memberinya kesempatan menghirup udara Allah dan kembali lagi ke tanah air. Kak Nida adalah pelajar tahun 5, Fakulti Perubatan, Universitas Gajah Mada, Yogyakarta. Kediaman Kak Nida di sana terletak kira-kira 30 km dari laut dan 15 km dari Gunung Merapi. Bila malam menjelang, Kak Nida dapat melihat lahar merah gunung Merapi yang tunggu masa meletup, jelas dengan mata, melalui kamarnya. Tidak seperti kita disini yang hanya melihat melalui akhbar, begitupun sudah terasa ngerinya. Bila siang, lahar merah itu tidak kelihatan kerana dilitupi awan. Awan panas dari merapi mampu mengeluarkan asap sehingga 7 km jauhnya. Bila awan itu diatas, kepanasannya adalah 1000 degree cel. Bila awan itu turun ke bawah, kepanasannya 300 degree cel. Boleh cair badan manusia tuu... Itu baru api didunia, bukan api neraka…berani-beranilah tinggal solat dan buat maksiat… na’uzubilLah…
Di hospital tempat Kak Nida praktikal, telah disediakan 20 kamar khusus sebagai persiapan merawat mangsa merapi yang bila-bila saja boleh meletup. Seluruh kawasan sudah bersedia menunggu ledakan merapi, rupa-rupanya lain yang berlaku mengikut kehendak Allah…
Pagi 27 Mei 2006, selepas menunaikan solat subuh, kak Nida bersiap-siap mahu ke hospital. Sebelum itu, kak Nida ada diskusi ilmu. Kak Nida pelajar yang aktif dengan Persatuan Pelajar Islam di sana dan pernah berada dalam saf kepimpinannya. Dalam ketenangan pagi itu, tiba-tiba berlaku gegaran kecil. Kak Nida nampak mereka yang berada di jalanan terjatuh. Tidak lama, gegaran besar pula berlaku dan bangunan yang mereka diami bergoncang kuat. Lari! Itu saja. Tapi, bagaimana mahu lari sedang bumi bergegar. Kak Nida mengucap panjang. Tika itu, Kak Nida hanya ingat Allah. Ajal mautnya di tangan Allah. Begitukah goncangan Allah pada Kaum Nabi Lut yang Allah terbalikkan bumi mereka? Ampun Ya Allah , kami bukan hambaMu yang Ingkar. Dalam gegaran dan susah-payah itu, Kak Nida bersama penghuni lain merangkak keluar dari kediaman mereka sebelum bangunan itu musnah. Alhamdulillah! Terselamat. Diluar, kak Nida lihat sudah ramai yang terbaring di jalanan. Hanya ucapan Inna Lillah… Goncangan yang hanya 55 saat itu telah meranapkan seluruh Yogya. Bangunan-bangunan ranap bagai dilanda garuda. Berpaling ke kiri, ke kanan, depan atau belakang, sama saja. Bangunan musnah bersama nyawa manusia yang tak sempat menyelamatkan diri. Dijalanan lebih dahsyat. Manusia bergelimpangan. Kak Nida terpaksa berjalan di celah-celah paha manusia. Yang menangis, menjerit-jerit kesakitan dan meminta pertolongan, semuanya ada. Dalam kekalutan itu, kak Nida bersama teman-temannnya, para doktor, memberikan bantuan sedaya yang mampu. Bila seorang ditolong, yang sebelahnya menjerit meminta tolong juga. Bila selesai, dilihatnya orang itu sudah meninggal. Di sana-sini ada saja yang mohon di tolong.Tapi kejadian yang sama berulang, Yang ini ditolong, yang itu meninggal. Begitulah, Kak Nida terpasa melihat mangsa yang tidak sempat diselamatkan meninggal dunia dihadapan matanya. Sesuatu yang Kak Nida tak boleh lupakan, dia terpaksa menjahit kulit kepala seorang mangsa yang cedera, tanpa bius. Perasaan yang berperang tika itu perlu dikuatkan. Hati mana yang sanggup melihat lolongan manusia, dijahit kepalanya hidup-hidup tanpa bius. Namun keadaan memaksa semua itu. Dia perlu diselamatkan. Hospital setinggi 6 tingkat rosak teruk termasuk 20 kamar yang disediakan itu. Mangsa-mangsa gempa hanya bergelimpangan dijalanan dan menginap di khemah-khemah yang disediakan…
Cukup lah tu…
Kalau mahu diceritakan setiap apa yang berlaku, tentu tak habis-habis. Musibah itu telah berlaku. Kita sebagai muslim, wajib membantu saudara-saudara seagama kita. Yang bukan seagama, bantulah atas dasar kemanusiaan dan keperihatian.
Yang lebih penting, ada pengajaran yang mesti kita ambil. Kata Kak Nida, musibah ini berlaku 2 hari selepas penduduk yogya merayakan Hari Kenaikan Jesus. Pada hari khamis dan jumaat, Kak Nida cuti kerana penduduk di sana menyambut itu, dan pada hari Sabtu, gempa itu terjadi. Jika kita perhatikan betul-betul, kebanyakkan musibah yang terjadi berlaku selepas perayaan seperti itu. Ribut Greg beberapa tahun lepas, tsunami, kecelakaan di pulau nias dan gempa ini. Mengikut Kak Nida lagi, Islam di sana, ada Islam yang benar dan ada Islam kejawen, yang sesat, yang masih mempercayai mitos, mengamalkan sihir, perkara-perkara tahyul dan khurafat. Contohnya, apabila gempa ini terjadi, ada yang menyalahkan Sultan. Kononnya, Sultan Hemengkubuwono ke 10 yang sekarang ini memerintah, tidak mahu berkahwin dengan ‘puteri’ yang menjaga kedaulatan Bandar Yogya. Sedangkan semua sultan yang terdahulu berkahwin dengan puteri itu. Makanya, ‘puteri’ itu murka dan menimpakan gempa. Tak cukup dengan itu, muncul pula nama Mbah Marijan. Datuk berusia 79 tahun itu mengaku menjadi juru kunci merapi. Dia dikatakan mempunyai kuasa sakti dan magis. Kalau mahu tahu tentang merapi, tanya saja sama Mbah itu, dia pasti tahu. Tak perlu mengikut perintah polisi dan kajian saintifik. Pantas saja kita lihat di kaca TV, apabila polisi nyuruh berpindah, ramai yang enggan. (Tetiba lak cakap indon nih…terpengaruh dengan Malin Kundang).
Cerita Kak Nida, dia sedih melihat masyarakat di sana yang seakan-akan tidak insaf sekalipun telah banyak teguran Allah yang disampaikan melalui amaranNya. Contoh paling mudah, di setiap khemah-khemah penempatan, ada saja artis-artis yang datang memberikan hiburan. Katanya, itu sumbangan mereka kepada magsa-magsa gempa, mereka mahu meghiburkan mangsa. Bila tiba musim bola sekarang ni, judi makin berleluasa di sana. Bola menggila, judi menjadi-jadi. Bagai ada pesta judi. Mempertaruhkan wang demi bola.
Kak Nida pernah diminta oleh sebuah organisasi kristian di sana untuk menyertai mereka memberikan bantuan kepada penduduk-penduduk di pedalaman. Serba salah juga mahu menyertai, namun demi kemaslahatan yang lebih peting, Kak Nida ikut juga. Rupanya Allah mahu menunjukkan sesuatu pada Kak Nida. Kak Nida berpeluang masuk ke gereja dan melihat betapa terancangnya, sistematiknya dan hebatnya organisasi kristian itu. Para doktor diberi layanan yang istimewa.Orang kristian menyampaikan dakyah secara halus melalui pertolongan mereka. Dakyah halus yang tersembunyi di sebalik kelembutan, keramahan, kemesraan dan kepemurahan mereka. Saya suka dengan ayat Kak Nida ini, “Sebab itulah pentingnya orang Islam hidup dalam Jemaah, hidup dengan usrah dan tarbiyah, mempunyai organisasi dan sistem yang kuat”. Seorang daripada khalifah Islam yang empat pun pernah berkata, kebenaran tanpa perancangan (nidzom) akan dikalahkan oleh kebatilan yang berperancangan.
Seperkara lagi, jika di Acheh, ada Masjid Baitu Rahman yang tegak, tak jatuh dilanda air. Di Yogya juga Kak Nida melihat ada Masjid yang tegap sedangkan rumah-rumah di sebelah masjid itu ranap, dengan batu-batanya yang jatuh bertimpa-timpa.

Rakyat Malaysia, ambillah pengajaran. Janganlah tunggu hingga Allah murka, hingga diberi peringatan berupa bencana dan malapetaka. Maksiat di malaysia semakin banyak dan menjadi-jadi. Paling sedih, ada yang bersembunyi di sebalik nama Islam Hadhari. Lihat saja Perkampungan Hadhari yang sedang berlangsung di Terengganu sekarang ini. Di situlah Al Kuliyyah dan Al Hidayah, disitu jugalah tarian kebudayaan, dengan segala macam namanya. Hadhari atau Jahili itu? Yang haq sudah bercampur aduk dengan yang batil. Hiburan menjadi-jadi. Berlumba-lumba menjadi juara Rentak Juara, itu dikatakan perjuangan. Artis dijadikan idola. Yang namanya ‘akademi’ kan sepatutnya menjadi medan ilmu, tapi medan melatih kader-kader penghibur. Wang dileburkan melampau-lampau untuk sukan, itu dikatakan pembangunan modal insan. Ya Allah, aku tidak redha dengan semua itu. Innani laysa minhum. Ya Allah, berilah hidayahMu pada kami, pada seluruh muslimin dan muslimat, pada semua pemimpin Islam diseluruh dunia. Amiin Ya Rabb.
Bukankah telah datang kepada mereka berita orang-orang yang terdahulu daripada mereka, iaitu kaum Nabi Nuh, dan ‘Ad, dan Thamud, dan kaum Nabi Ibrahim, dan penduduk negeri Madyan serta negeri-negeri yang telah dibinasakan? (Semuanya) telah datang kepada mereka Rasul-rasul dengan membawa peringatan yang jelas nyata, (lalu mereka mendustakannya dan Tuhan pula membinasakan mereka). Allah sekali-kali tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri” (At-Taubah:70).

2006/06/17

Faktor Kejayaan Menurut Imam Hassan Al-Banna

  • Menganut dengan akidah Islam yang tulen, jauh dari sebarang unsur syirik, kufur dan fasiq.
  • Beribadat dengan konsepnya yang betul berdasarkan elemen ilmu, kerana sesuatu ibadat itu tidak akan diterima tanpanya.
  • Memiliki ketajaman daya fikir.
  • Memiliki tubuh badan yang semaksima sihat untuk diwakafkan kepada Islam.
  • Memiliki akhlak Islam yang jitu.
  • Bijak menjaga/mengurus waktu dengan baik.
  • Memanfaatkan segala apa yang dimiliki untuk kepentingan awam seperti ilmu, kepakaran dan sebagainya.
  • Berusaha untuk berdaya saing dalam segenap bidang dan lapangan.
  • Mampu untuk berusaha mencapai sesuatu matlamat.
  • Mengambil tindakan sistematik dalam segeap urusan harian sebagai seorang muslim/muslimah sejati.

2006/06/14

Selamat Pengantin Baru Abang Auzaie dan Kak Dek...



Sirih pinang beralas mengkuang berlapik dulang,
Jejari berseri inai menyemat gagah si taming sari,
Bersampin songket tanjak memecak silat,
menjulang sunnah amanat nabi agar termasuk dikalangat umat.
Meminang menimang,
Menantu dan anak,
Adat menjemput niat tersemat ukhwah terpatri,
Hati dah suka syariat dijaga walimah diumum.
Doa kalian bahagia hendaknya..
Dialah istri pada duniaku dan akhiratku..
Moga cinta lestari di sini hingga ke sana.
-auzaie-
Selamat Pengantin Baru...
buat abang dan kakak
Ahmad Auzaie & Khairul Bariyah
Berbahagialah hendaknya dunia dan akhirat
Dilimpahi Rabbi berkat dan rahmat
Kaya anak soleh zuriat
Pewaris pejuang agama, pembela ummat
Di sana kelak mendapat syafaat.