||::GENERASI AL-QURAN::||

"Ya Allah, terangilah hati kami dengan membaca Al-Quran. Hiasilah akhlaq kami dengan sinaran Al-Quran. Baikilah amalan kami dengan mengingati Al-Quran. Serikanlah wajah kami dengan berkat Al-Quran. Bebaskanlah kami dari api neraka dengan rahsia Al-Quran. Berilah hidayah untuk kami dengan petunjuk Al-Quran.Amin"

2006/05/14

Muslimah di Medan Dakwah

MUSLIMAH DI MEDAN DAKWAH

Sebagai agen dalam membawa perubahan dan perbaikan dalam masyarakat, wanita harus mempunyai ‘modal’ yang baik. Jika tidak, perubahan ke arah kebaikan tak mungkin wujud dengan segera.

Pertama, kesolehan. Bahagian terpenting dalam memperbaiki masyarakat ialah keteladanan. Bagaimana mungkin seseorang bisa menjadi agen perubahan kalau dirinya sendiri bermasalah. Seorang wanita harus menjadi cermin; cermin dirinya, keluarga dan masyarakat. Sebab, titik pertama yang dipandang oleh masyarakat pada diri seseorang adalah diri dan keluarganya. Ciri ‘solehah’ ini juga berkait rapat dengan mutu atau kualiti diri seseorang wanita itu. Justeru, wanita perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu shariah dan menguasai ilmu-ilmu dasar; ilmu Al-Quran, bahasa arab, hadis dan tafsir di samping menguasai ilmu-ilmu semasa dan mempunyai wawasan islam yang utuh.

Kedua, fasih berbicara. Sebagai da’iyah, berbicara merupakan modal yang amat penting. Kesolehan wanita tidak mampu berfungsi dengan baik jika tidak mempunyai kemampuan berbicara yang baik. Para sahabiyat telah memberikan contoh yang terbaik dalam hal ini. Misalnya Aisyah bintu Abu Bakar dan Asma’ bintu Yazid. Kemampuan berbicara ini tidak terbatas pada ceramah di depan khalayak ramai. Lebih penting dari itu adalah kemampuan berkomunikasi dengan orang lain atau mad’u yang pelbagai ragam. Justeru, penguasaan bahasa dan tradisi dalam sesuatu komuniti masyarakat adalah sangat penting.

Ketiga, bijak. Hikmah dan kebijaksanaan adalah anugerah Allah pada hambaNya. Firman Allah Ta’ala bermaksud, “Allah memberikan hikmah kepada siapa yang dikehendakiNya. Dan barangsiapa yang diberikan hikmah sesungguhnya telah diberikan kebajikan yang banyak.” (Al-Baqarah:269). Tanpa hikmah dan kebijaksanaan dalam berdakwah, seringkali menyebabkan tujuan tidak tercapai dan timbul kesalahfahaman. Termasuk dalam kategori hikmah adalah meletakkan mad’u pada posisinya. Jika ia seorang yang jahil, maka diperlakukan sesuai dengan keadaannya. Jika ia seorang yang berilmu namun mempunyai sikap tafritd (menyia-nyiakan), ihmal (meremehkan) atau ghaflah (melalaikan), maka diperlakukan juga sewajarnya . Begitu juga jika dia seorang yang berilmu namun suka bersikap sombong dan menolak kebenaran, maka ada cara tersendiri dalam bergaul dengannya.

Inilah yang diteladankan oleh Rasulullah s.a.w. Suatu ketika, Muawiyah bin Hakam solat bersama Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba ada seorang yang bersin dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’. Muawiyah lalu mengucapkan ‘Yarhamukallah’. Seketika itu juga para sahabat memandangnya dengan marah. Muawiyah berkata, “ Celaka kamu”. Lalu para sahabat menepuk paha masing-masing sebagai isyarat agar dia diam. Setelah solat, Rasulullah s.a.w memanggil Muawiyah dan berkata bahawa solat itu tidak boleh ada perkataan manusia di dalamnya walau sedikit pun, solat hanyalah takbir dan membaca Al-Quran. Mu’awiyah lalu berkata,”Aku tak pernah melihat seorang guru yang lebih bagus cara mengajarnya daripada Rasulullah s.a.w. Demi Allah, beliau tidak membentakku dan tidak pula mengherdikku”.

Keempat, mampu mendidik dengan baik. Wanita mesti mampu mendidik anaknya dengan baik kerana anak-anak adalah harapan masa depan dan agen penerus dakwah. Pada awal pertumbuhannya, anak-anak lebih banyak bergaul dengan ibu. Akhlak dan perilaku ibu mempunyai pengaruh yang besar pada anak. Justeru, pendidikan anak perlu diberi perhatian serius. Jika seorang ibu tidak mampu mendidik anaknya dengan baik, maka dia hendaklah berusaha mencari pendidik yang baik untuk anaknya. Seorang wanita tidak boleh menyerah diri dengan keadaaan atau kelemahan dirinya dan berdiam diri. Sesuatu perlu dilakukan sebagai usaha membuat perubahan kearah kebaikan.

Kelima, giat dalam berdakwah. Seorang wanita mesti giat dalam meninggikan taraf keilmuannya, kaumnya dan masyarakatnya. Bukan sahaja menjadikan dirinya solehah tetapi juga mengajak manusia kearah membina generasi dan membentuk masyarakat yang soleh dan solehah. Berdakwahlah walau dengan sepotong ayat. Berdakwahlah dengan menunjukan akhlak yang mulia. Berdakwahlah melalui pelbagai wasilah yang tersedia. Pahala dari ilmu yang bermanfaat akan terus mengalir walaupun kita telah meninggal dunia.

Berdakwahlah!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home