||::GENERASI AL-QURAN::||

"Ya Allah, terangilah hati kami dengan membaca Al-Quran. Hiasilah akhlaq kami dengan sinaran Al-Quran. Baikilah amalan kami dengan mengingati Al-Quran. Serikanlah wajah kami dengan berkat Al-Quran. Bebaskanlah kami dari api neraka dengan rahsia Al-Quran. Berilah hidayah untuk kami dengan petunjuk Al-Quran.Amin"

2006/05/22

Kenangan dari Masjidil Haram...


“Baba jangan lupa, ye. Nanti lepas solat, kakak ngan mama tunggu baba kat Pintu Marwa. Ba’das-solah fauran, ya baba.” Sebelum melangkah masuk melalui babussalam, saya ingatkan ayah tentang janjinya untuk membawa saya shopping kitab di sekitar masjidil haram selepas solat asar petang itu.

“Toyyib, Insya Allah”. Jawapan itu meyakinkan.

Seperti yang dijanjikan, kami bertemu di Pintu Marwa selepas solat asar dan solat jenazah. Hampir setiap kali selepas waktu solat, ada solat jenazah, sehingga saya pernah terfikir, bagus juga ya kalau mati di Mekah ni.

Memang puas saya membelek buku petang itu. Ibu dan ayah pun. Sebenarnya saya mencari sesuatu. Saya dah jumpa kitab Qiraat yang Ustaz Rahim syorkan. Tapi saya masih belum jumpa mushaf Al-Quran yang saya inginkan. Saya nak beli sebuah mushaf rasm Uthmani yang baru, yang sesuai dengan saya yang rabun ni. Yang tulisannya besar dan jelas tapi mushaf tu bukan yang besar. Yang bersaiz mudah dibawa kemana-mana. Yang ada tafsir,dan yang cantik, bukan yang hitam putih saja. Hmmm…pilih mushaf Al-Quran pun cerewet? Puas saya membelek sendiri setiap mushaf Al-Quran dikedai tu. Pilihannya sangat banyak, tapi hairan, tiada satu pun yang betul-betul kena dengan apa yang saya mahukan. Sampai saya termenung sendiri.

“Fi syai’ kaman, ya habibti?” (Ada apa-apa lagi –nak beli-, sayang?) Tanya ibu.
“Hmm…”. Saya tak tau nak cakap macam mana.
“Tak de dah kot ma…”
Ayah pun membayar buku-buku yang telah kami beli. Kami pulang semula ke Masjidil Haram untuk menunggu Solat Maghrib.

Keesokannya, pagi-pagi lagi saya dan rombongan berkumpul dihadapan hotel. Pagi itu kami akan buat umrah kali terakhir sebelum berangkat ke Madinah pada hari berikutnya. Apabila masuk ke dalam Masjidil Haram, saya keluarkan mushaf Al-Quran saya dari dalam beg sandang dan letakkannya di atas rak Al-Quran disitu. Agak berat kalau saya nak letak dalam beg sandang semasa melakukan tawaf dan sa’ie. Nanti bila dah selesai tahallul, saya akan ambil semula.

Selesai tawaf, sa’ie dan tahallul, saya dan ibu terduduk disitu. Penat juga. Perut pun dah lapar. Saya tak bertangguh lagi apabila Ustaz Yusaini, ketua rombongan kami mengajak ayah dan ibu pekena nasik beriani di sebuah restoran. Saya terlupa tentang mushaf saya yang tertinggal di Masjidil Haram, sehinggalah pulang ke bilik.

Petangnya, setelah selesai solat zohor, saya mencari mushaf saya. Tiada! Habis semua rak dikawasan itu saya periksa, tiada juga. Setiap orang yang ada disitu saya perhatikan, kalau-kalau mereka ada mengambil dan membaca mushaf saya. Tiada juga. Agak lama, baru saya perasan satu perkara, mushaf di dalam masjidil haram itu semuanya seragam! Jadi, ada kemungkinan mushaf-mushaf yang tidak seragam, termasuk mushaf saya itu dikumpul oleh pekerja masjidil haram. Saya minta ibu tanyakan pada seorang pekerja. Memang tepat apa yang saya jangkakan. Jadi bagaimana? Pekerja tersebut minta kami tanyakan seoarang pegawai yang duduk di dalam sebuah ofis kecil di masjid itu, kalau-kalau saya boleh dapat semula mushaf saya. Daripada pegawai itu, kami dapat tahu ada sebuah tempat bersebelahan Masjid, tempat untuk mencari barang-barang hilang yang dikumpulkan disitu. Saya dan ibu gegas ke sana. Ah, tutup pula. Sudah tutup untuk hari itu. Esok baru buka semula. Sedangkan, esok sesudah subuh dan tawaf wida’ kami akan berangkat ke Madinah.

“Camana ni ma... kakak sayang Quran kakak tu. Dalam tu ada sekali kakak punya catatan hafazan. Esok pagi-pagi kita dah nak pergi Madinah” saya mengeluh pada ibu, sayu.

Agaknya ibu kasihan melihat saya, lalu ibu ajak saya bertemu pegawai tadi sekali lagi. Ibu ceritakan keadaan kami dan minta bantuannya. Pegawai itu tidak berjanji apa-apa, cuma berpesan pada kami supaya menemuinya selepas subuh esok di ofisnya itu.

“Betul ke boleh dapat balik ni ma? Dia tak tanya pun mushaf kakak tu macam mana bentuknya. Camana lak dia boleh nak tolong cari dan bagi balik kat kakak?”

“Tak pe lah. Kita datang je esok. Kalau ada rezeki, adalah. Kalau tak ada pun tak apalah. Niat sedekah aje. Mudah-mudahan ada orang lain yang guna, kakak dapat pahala”.

Memang pegawai itu di situ keesokannya. Dia menepati janji. Walaupun dari susuknya dapat dilihat bahawa dia ini orang yang ada ‘haibah’ dan ‘ihtiram’ (kehebatan dan terhormat-orang besar-besar la), tapi tetap memuliakan tetamu Allah seperti kami, orang kebanyakan ini. Tak seperti pekerja yang asyik menghalau kami apabila mahu berlama-lamaan di hijr ismail (atau di raudhah Masjidin Nabi) Tapi apabila orang kenamaan Saudi yang datang, habis dikawal ketat. Diberi keselesaan untuk tawaf dan diberi masuk ke dalam kaabah. Depan Baitullah pun masih nak mengira status!

Salam kami di sambut ramah oleh pegawai itu, dia cam kami. Kemudian dia tunjukkan 2 mushaf Al-Quran. Satu untuk ibu, satu untuk saya.Tapi itu bukan mushaf saya. Katanya, susah untuk saya bertemu semula dengan barang yang hilang, sebab terlalu banyak yang dikumpulkan. Memang mereka mengumpulkan mushaf yang ditinggalkan dan tidak seragam dengan mushaf al-haramain. Mushaf yang mereka kumpulkan itu mereka waqafkan di sekolah-sekolah. Saya lega mendengar berita itu.

Dua mushaf yang dihadiahkan pada kami itu saya ambil dan saya buka. SubhanalLah, cantiknya mushaf ni. Betul-betul kena, betul-betul tepat seperti mushaf yang saya idam-idamkan. Alhamdulillah!

Ya Allah, Maha Mendengarnya Allah. Saya tak pernah berdoa pun meminta pada Allah memberikan mushaf Al-Quran seperti yang saya mahu. Malah sejak mushaf saya hilang, saya tak langsung menadah tangan berdoa memohon ia dijumpai semula. Tapi Allah Maha Mendengar. Sehingga apa yang ada dilubuk hati saya, yang tak pernah saya suarakan pada ibu dan ayah, tiba-tiba Allah tunaikan sekelip mata. Maha Agungnya Allah yang Maha Mengetahui segala yang tersurat dan tersirat. Kita takkan dapat menyembunyikan apa-apa pun dari DIA walaupun sebesar zarah. Saya sangka, keinginan saya untuk mempunyai mushaf yang saya mahu itu hanya satu perkara yang kecil, tak perlu doa pun tak apa. Rupanya Allah mengetahui betapa saya amat memerlukannya dan DIA kabulkan hasrat saya dengan cara yang tidak saya duga.

Ini baru cerita saya…
Belum lagi cerita Cik Jah, yang berdoa mohon diterangkan penglihtannya supaya tak payah pakai spec lagi. Allah kabulkan di sana.
Juga, cerita Pak Cik Mail yang tawaf bersama abangnya yang telah meninggal dunia. Pak Cik Mail kemudian meninggal dunia tak sampai 24 jam setelah pulang ke Malaysia. Al Fatihah untuk arwah Pak Cik Mail.

*Kenapa tiba-tiba teringat Masjidil Haram ye? Saya memang sangat rindu untuk sujud di hadapan BaitulLah lagi. Setiap kali hari jadi saya, 19 Mei, saya pasti akan teringatkan Masjidil Haram. Itu hadiah birthday yang paling bermakna - umrah! Hadiah yang tidak dirancang sebagai hadiah. Alhamdulillah!

Sanah helwa ya gameel !

Ingat-ingat, kematianku makin dekat!


0 Comments:

Post a Comment

<< Home