||::GENERASI AL-QURAN::||

"Ya Allah, terangilah hati kami dengan membaca Al-Quran. Hiasilah akhlaq kami dengan sinaran Al-Quran. Baikilah amalan kami dengan mengingati Al-Quran. Serikanlah wajah kami dengan berkat Al-Quran. Bebaskanlah kami dari api neraka dengan rahsia Al-Quran. Berilah hidayah untuk kami dengan petunjuk Al-Quran.Amin"

2006/06/28

Nuramirah, 10, hafalAl-Quran dalam masa 2 tahun.


Mari kita kongsi kaedah yang digunakan oleh ibu bapa Nuramirah dalam memantapkan bacaan dan hafazan anak-anaknya …

Bilangan ayat dalam Al-Quran – 6666 ayat*
Bilangan surah dalam Al-Quran – 114 surah
Bilangan juzuk dalam Al-Quran – 30 juzuk
Bilangan helaian dalam satu juzuk – 10 helai (20 mukasurat)
Bilangan helaian dalam 30 juzuk – 300 helai (600 mukasurat)

Bilangan hari dalam satu tahun – 360 hari

Bilangan tahun untuk meghafaz 30 juzuk Al-Quran:
(a) Tahap sederhana cepat :
(i) Satu hari satu helai (2 mukasurat) – 1 helai = 1 hari
300 helai = 300 hari
=setahun


(ii) Satu hari setengah helai (satu mukasurat) – 1 helai = 2 hari
300 helai = 600 hari
= 2 tahun

(b) Tahap biasa:

Satu hari , setengah muka surat – 1 helai = 4 hari
300 helai = 1200 hari
=3 tahun 4 bulan

Satu hari 1/3 mukasurat – 1 helai = 6 hari
300 helai = 1800 hari
= 5 tahun


(c) Tahap azam yang sangat kuat:
Satu hari satu ayat – 1 hari x 6666 ayat*
6666 hari
= 18 tahun 6 bulan

* 6666 adalah jumlah ayat Al-Quran yang biasa kita dengar. Walau bagaimanapun, mengikut pendapat yang masyhur di kalangan ulamaul ‘adad dalam kitab Faraidul Hisan, jumlah ayat Al-Quran ialah 6232. Saya mempelajari matan kitab ini dalam kelas fawasil yang diajar oleh Ustaz Adam Nuh Fofana di UIA.

Jadi sekarang ni, bila dah tau caranya, boleh la mulakan menghafal. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Kalau asyik beralasan saja, sampai bila-bila pun takkan dapat hafal. Satu hari satu ayat pun jadilah. Kalau sekarang umur anda 23 tahun, anda akan bergelar al-hafiz bila berumur 41 tahun nanti, Insya Allah. Masa itu, anda mungkin seorang pendidik, peguam, doktor, jurutera atau pemimpin negara…so, start now!

2006/06/24

Pengalaman Mangsa Gempa Yogya... ambillah iktibar!


Saya berkira-kira untuk tidak mahu online sehingga saya selesai menghabiskan buku yang saya sedang baca sekarang . Sebabnya, kalau dah online ni, bukannya tau nak online sekejap. Buku itu – Jerusalem in The Quran begitu menarik perhatian saya, hingga baju di ampaian pun terlupa diangkat sedangkan hujan telah lebat! Tapi, ada sesuatu yang menarik-narik saya untuk menulis juga di sini dan berkongsi sesuatu…
Hari Rabu lepas, selepas asar, saya menemani ibu ke kuliah mingguan. Petang itu ibu memberi pengisian untuk kuliah ibu-ibu di Masjid Kangar. Tapi, ada sesuatu yang lain pada petang itu. Ibu berceramah sebentar cuma. Selepas itu, Ibu menjemput Kak Hasnida, bekas anak murid ibu untuk menceritakan pengalamannya menjadi mangsa gempa bumi di Yogyakarta.
Kak Hasnida, pertama kali saya mengenalinya ialah ketika saya berada dalam tingkatan 2 di SMKAP. Kak Hasnida ketika itu sudah bertukar dari SMKAP ke SMKAA kerana melanjutkan pelajaran dalam bidang sains. Biarpun belajar di negeri yang sama, namun perkenalan kami bermula nun di negeri di bawah bayu, Sabah. Ketika itu kami mewakili sekolah dalam Ihtifal pelajar-pelajar sekolah agama peringkat Kebangsaan 1997. Saya dan Kak Nida ditempatkan di dorm yang sama. Sepanjang mengenalinya, ada sesuatu yang saya kagumi dengan kakak ini … kegigihannya…
Bicara kak Hasnida bermula dengan ucapan syukur yang tak terhingga kerana Allah masih memanjangkan umurnya dan memberinya kesempatan menghirup udara Allah dan kembali lagi ke tanah air. Kak Nida adalah pelajar tahun 5, Fakulti Perubatan, Universitas Gajah Mada, Yogyakarta. Kediaman Kak Nida di sana terletak kira-kira 30 km dari laut dan 15 km dari Gunung Merapi. Bila malam menjelang, Kak Nida dapat melihat lahar merah gunung Merapi yang tunggu masa meletup, jelas dengan mata, melalui kamarnya. Tidak seperti kita disini yang hanya melihat melalui akhbar, begitupun sudah terasa ngerinya. Bila siang, lahar merah itu tidak kelihatan kerana dilitupi awan. Awan panas dari merapi mampu mengeluarkan asap sehingga 7 km jauhnya. Bila awan itu diatas, kepanasannya adalah 1000 degree cel. Bila awan itu turun ke bawah, kepanasannya 300 degree cel. Boleh cair badan manusia tuu... Itu baru api didunia, bukan api neraka…berani-beranilah tinggal solat dan buat maksiat… na’uzubilLah…
Di hospital tempat Kak Nida praktikal, telah disediakan 20 kamar khusus sebagai persiapan merawat mangsa merapi yang bila-bila saja boleh meletup. Seluruh kawasan sudah bersedia menunggu ledakan merapi, rupa-rupanya lain yang berlaku mengikut kehendak Allah…
Pagi 27 Mei 2006, selepas menunaikan solat subuh, kak Nida bersiap-siap mahu ke hospital. Sebelum itu, kak Nida ada diskusi ilmu. Kak Nida pelajar yang aktif dengan Persatuan Pelajar Islam di sana dan pernah berada dalam saf kepimpinannya. Dalam ketenangan pagi itu, tiba-tiba berlaku gegaran kecil. Kak Nida nampak mereka yang berada di jalanan terjatuh. Tidak lama, gegaran besar pula berlaku dan bangunan yang mereka diami bergoncang kuat. Lari! Itu saja. Tapi, bagaimana mahu lari sedang bumi bergegar. Kak Nida mengucap panjang. Tika itu, Kak Nida hanya ingat Allah. Ajal mautnya di tangan Allah. Begitukah goncangan Allah pada Kaum Nabi Lut yang Allah terbalikkan bumi mereka? Ampun Ya Allah , kami bukan hambaMu yang Ingkar. Dalam gegaran dan susah-payah itu, Kak Nida bersama penghuni lain merangkak keluar dari kediaman mereka sebelum bangunan itu musnah. Alhamdulillah! Terselamat. Diluar, kak Nida lihat sudah ramai yang terbaring di jalanan. Hanya ucapan Inna Lillah… Goncangan yang hanya 55 saat itu telah meranapkan seluruh Yogya. Bangunan-bangunan ranap bagai dilanda garuda. Berpaling ke kiri, ke kanan, depan atau belakang, sama saja. Bangunan musnah bersama nyawa manusia yang tak sempat menyelamatkan diri. Dijalanan lebih dahsyat. Manusia bergelimpangan. Kak Nida terpaksa berjalan di celah-celah paha manusia. Yang menangis, menjerit-jerit kesakitan dan meminta pertolongan, semuanya ada. Dalam kekalutan itu, kak Nida bersama teman-temannnya, para doktor, memberikan bantuan sedaya yang mampu. Bila seorang ditolong, yang sebelahnya menjerit meminta tolong juga. Bila selesai, dilihatnya orang itu sudah meninggal. Di sana-sini ada saja yang mohon di tolong.Tapi kejadian yang sama berulang, Yang ini ditolong, yang itu meninggal. Begitulah, Kak Nida terpasa melihat mangsa yang tidak sempat diselamatkan meninggal dunia dihadapan matanya. Sesuatu yang Kak Nida tak boleh lupakan, dia terpaksa menjahit kulit kepala seorang mangsa yang cedera, tanpa bius. Perasaan yang berperang tika itu perlu dikuatkan. Hati mana yang sanggup melihat lolongan manusia, dijahit kepalanya hidup-hidup tanpa bius. Namun keadaan memaksa semua itu. Dia perlu diselamatkan. Hospital setinggi 6 tingkat rosak teruk termasuk 20 kamar yang disediakan itu. Mangsa-mangsa gempa hanya bergelimpangan dijalanan dan menginap di khemah-khemah yang disediakan…
Cukup lah tu…
Kalau mahu diceritakan setiap apa yang berlaku, tentu tak habis-habis. Musibah itu telah berlaku. Kita sebagai muslim, wajib membantu saudara-saudara seagama kita. Yang bukan seagama, bantulah atas dasar kemanusiaan dan keperihatian.
Yang lebih penting, ada pengajaran yang mesti kita ambil. Kata Kak Nida, musibah ini berlaku 2 hari selepas penduduk yogya merayakan Hari Kenaikan Jesus. Pada hari khamis dan jumaat, Kak Nida cuti kerana penduduk di sana menyambut itu, dan pada hari Sabtu, gempa itu terjadi. Jika kita perhatikan betul-betul, kebanyakkan musibah yang terjadi berlaku selepas perayaan seperti itu. Ribut Greg beberapa tahun lepas, tsunami, kecelakaan di pulau nias dan gempa ini. Mengikut Kak Nida lagi, Islam di sana, ada Islam yang benar dan ada Islam kejawen, yang sesat, yang masih mempercayai mitos, mengamalkan sihir, perkara-perkara tahyul dan khurafat. Contohnya, apabila gempa ini terjadi, ada yang menyalahkan Sultan. Kononnya, Sultan Hemengkubuwono ke 10 yang sekarang ini memerintah, tidak mahu berkahwin dengan ‘puteri’ yang menjaga kedaulatan Bandar Yogya. Sedangkan semua sultan yang terdahulu berkahwin dengan puteri itu. Makanya, ‘puteri’ itu murka dan menimpakan gempa. Tak cukup dengan itu, muncul pula nama Mbah Marijan. Datuk berusia 79 tahun itu mengaku menjadi juru kunci merapi. Dia dikatakan mempunyai kuasa sakti dan magis. Kalau mahu tahu tentang merapi, tanya saja sama Mbah itu, dia pasti tahu. Tak perlu mengikut perintah polisi dan kajian saintifik. Pantas saja kita lihat di kaca TV, apabila polisi nyuruh berpindah, ramai yang enggan. (Tetiba lak cakap indon nih…terpengaruh dengan Malin Kundang).
Cerita Kak Nida, dia sedih melihat masyarakat di sana yang seakan-akan tidak insaf sekalipun telah banyak teguran Allah yang disampaikan melalui amaranNya. Contoh paling mudah, di setiap khemah-khemah penempatan, ada saja artis-artis yang datang memberikan hiburan. Katanya, itu sumbangan mereka kepada magsa-magsa gempa, mereka mahu meghiburkan mangsa. Bila tiba musim bola sekarang ni, judi makin berleluasa di sana. Bola menggila, judi menjadi-jadi. Bagai ada pesta judi. Mempertaruhkan wang demi bola.
Kak Nida pernah diminta oleh sebuah organisasi kristian di sana untuk menyertai mereka memberikan bantuan kepada penduduk-penduduk di pedalaman. Serba salah juga mahu menyertai, namun demi kemaslahatan yang lebih peting, Kak Nida ikut juga. Rupanya Allah mahu menunjukkan sesuatu pada Kak Nida. Kak Nida berpeluang masuk ke gereja dan melihat betapa terancangnya, sistematiknya dan hebatnya organisasi kristian itu. Para doktor diberi layanan yang istimewa.Orang kristian menyampaikan dakyah secara halus melalui pertolongan mereka. Dakyah halus yang tersembunyi di sebalik kelembutan, keramahan, kemesraan dan kepemurahan mereka. Saya suka dengan ayat Kak Nida ini, “Sebab itulah pentingnya orang Islam hidup dalam Jemaah, hidup dengan usrah dan tarbiyah, mempunyai organisasi dan sistem yang kuat”. Seorang daripada khalifah Islam yang empat pun pernah berkata, kebenaran tanpa perancangan (nidzom) akan dikalahkan oleh kebatilan yang berperancangan.
Seperkara lagi, jika di Acheh, ada Masjid Baitu Rahman yang tegak, tak jatuh dilanda air. Di Yogya juga Kak Nida melihat ada Masjid yang tegap sedangkan rumah-rumah di sebelah masjid itu ranap, dengan batu-batanya yang jatuh bertimpa-timpa.

Rakyat Malaysia, ambillah pengajaran. Janganlah tunggu hingga Allah murka, hingga diberi peringatan berupa bencana dan malapetaka. Maksiat di malaysia semakin banyak dan menjadi-jadi. Paling sedih, ada yang bersembunyi di sebalik nama Islam Hadhari. Lihat saja Perkampungan Hadhari yang sedang berlangsung di Terengganu sekarang ini. Di situlah Al Kuliyyah dan Al Hidayah, disitu jugalah tarian kebudayaan, dengan segala macam namanya. Hadhari atau Jahili itu? Yang haq sudah bercampur aduk dengan yang batil. Hiburan menjadi-jadi. Berlumba-lumba menjadi juara Rentak Juara, itu dikatakan perjuangan. Artis dijadikan idola. Yang namanya ‘akademi’ kan sepatutnya menjadi medan ilmu, tapi medan melatih kader-kader penghibur. Wang dileburkan melampau-lampau untuk sukan, itu dikatakan pembangunan modal insan. Ya Allah, aku tidak redha dengan semua itu. Innani laysa minhum. Ya Allah, berilah hidayahMu pada kami, pada seluruh muslimin dan muslimat, pada semua pemimpin Islam diseluruh dunia. Amiin Ya Rabb.
Bukankah telah datang kepada mereka berita orang-orang yang terdahulu daripada mereka, iaitu kaum Nabi Nuh, dan ‘Ad, dan Thamud, dan kaum Nabi Ibrahim, dan penduduk negeri Madyan serta negeri-negeri yang telah dibinasakan? (Semuanya) telah datang kepada mereka Rasul-rasul dengan membawa peringatan yang jelas nyata, (lalu mereka mendustakannya dan Tuhan pula membinasakan mereka). Allah sekali-kali tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri” (At-Taubah:70).

2006/06/17

Faktor Kejayaan Menurut Imam Hassan Al-Banna

  • Menganut dengan akidah Islam yang tulen, jauh dari sebarang unsur syirik, kufur dan fasiq.
  • Beribadat dengan konsepnya yang betul berdasarkan elemen ilmu, kerana sesuatu ibadat itu tidak akan diterima tanpanya.
  • Memiliki ketajaman daya fikir.
  • Memiliki tubuh badan yang semaksima sihat untuk diwakafkan kepada Islam.
  • Memiliki akhlak Islam yang jitu.
  • Bijak menjaga/mengurus waktu dengan baik.
  • Memanfaatkan segala apa yang dimiliki untuk kepentingan awam seperti ilmu, kepakaran dan sebagainya.
  • Berusaha untuk berdaya saing dalam segenap bidang dan lapangan.
  • Mampu untuk berusaha mencapai sesuatu matlamat.
  • Mengambil tindakan sistematik dalam segeap urusan harian sebagai seorang muslim/muslimah sejati.

2006/06/14

Selamat Pengantin Baru Abang Auzaie dan Kak Dek...



Sirih pinang beralas mengkuang berlapik dulang,
Jejari berseri inai menyemat gagah si taming sari,
Bersampin songket tanjak memecak silat,
menjulang sunnah amanat nabi agar termasuk dikalangat umat.
Meminang menimang,
Menantu dan anak,
Adat menjemput niat tersemat ukhwah terpatri,
Hati dah suka syariat dijaga walimah diumum.
Doa kalian bahagia hendaknya..
Dialah istri pada duniaku dan akhiratku..
Moga cinta lestari di sini hingga ke sana.
-auzaie-
Selamat Pengantin Baru...
buat abang dan kakak
Ahmad Auzaie & Khairul Bariyah
Berbahagialah hendaknya dunia dan akhirat
Dilimpahi Rabbi berkat dan rahmat
Kaya anak soleh zuriat
Pewaris pejuang agama, pembela ummat
Di sana kelak mendapat syafaat.