||::GENERASI AL-QURAN::||

"Ya Allah, terangilah hati kami dengan membaca Al-Quran. Hiasilah akhlaq kami dengan sinaran Al-Quran. Baikilah amalan kami dengan mengingati Al-Quran. Serikanlah wajah kami dengan berkat Al-Quran. Bebaskanlah kami dari api neraka dengan rahsia Al-Quran. Berilah hidayah untuk kami dengan petunjuk Al-Quran.Amin"

2006/05/24

Hikmah di sebalik pengharaman khinzir

Saya temui satu buku, tajuknya ‘HIS Throne was On Water’, written by Dr. Adel M.A. Abbas, seorang doctor perubatan. Bila baca tajuk buku tu, saya teringat satu ayat Al-Quran dalam Surah Hud, bunyinya wa kaana ‘arshuhu ‘alal-ma’. Rupanya buku tu menulis tentang religious basis of science. (Bukan seorang rupanya orang macam Harun Yahya) Bagus buku tu especially for those who doubts about the existence of Allah. Ada satu tajuk dalam buku tu yang menarik perhatian saya untuk mencari sebab kenapa babi haram - The Creation of the Animal Kingdom. Mula-mula baca susah gak nak faham sebab banyak scientific and medical terminologies. Tapi Alhamdulillah boleh gak faham akhirnya…

Allah s.w.t menjelaskan tentang pengharaman khinzir dalam Al-Quran di beberapa tempat. Antaranya dalam Surah Al-Maidah, ayat 3 yang bermaksud, “Diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk dan yang diterkam binatang buas kecuali yang sempat kamu menyembelihnya …”.

Sebenarnya, khinzir adalah sejenis haiwan yang mudah dijangkiti oleh sejenis cacing pita yang bernama taenia solium. Taenia Solium ini adalah adalah dari jenis keluarga cacing pita yang boleh menjangkiti manusia dan menyebabkan penyakit yang bernama Cysticercosis. Badan manusia mampu menjadi tempat yang sesuai untuk pembiakan taenia solium, bermula dari peringkat larva lagi. Ketika di peringkat larva, cacing pita akan meresap masuk ke dalam mukus di usus dan hidup di dalam lapisan tisu usus.

Apabila seorang manusia memakan daging khinzir yang telah dijangkiti oleh taenia solium, ia boleh masuk ke dalam badan manusia melalui daging yang dimakan itu. Ia akan menetas di dalam perut dan larvanya akan berpaut pada usus dengan menggunakan kepala atau scolex yang mempunyai penyangkut. Bentuk larva tersebut adalah seperti kantung yang dipenuhi cecair dan mempunyai kepala. Pada kepalanya ada bulatan yang dikelilingi oleh penyangkut yang digunakan untuk berpaut pada usus.

Setelah menetas dan meresap ke dalam dinding usus, larva tersebut akan berubah ke dalam bentuk ‘cyst’ yang mempunyai kepala. Cyst maksudnya sesuatu yang tumbuh dalam sesuatu benda dan mempunyai cecair. Cyst tersebut berdiameter 0.5-1 cm dan akan kekal dalam bentuk tersebut selama 3-5 tahun dan kemudian ia akan bertukar menjadi keras (calcified) dan menyebabkan penyakit kepada manusia. Ia boleh meyerang mana-mana bahagian badan manusia tetapi kebiasaannya adalah di dalam otak iaitu cerebrum dan pesakit boleh menderita sakit kepala, paralysis, partial blindness dan epilepsy. Ia juga boleh menyerang mata, hati, jantung dan limpa – eye, liver, heart and spleen. Selain daging khinzir, manusia juga boleh mendapat jangkitan tersebut melalui cecair yang telah dikotori oleh kuman tersebut.

Nah, dah jelaskan, ada hikmahnya apabila Allah larang dan perintah sesuatu. Makanan yang Allah haramkan dalam ayat di atas, seperti bangkai, binatang-binatang yang telah diserang oleh haiwan lain dan sebagainya, selalunya akan di infected, taken over and colonized by micro-organisms yang mengandungi bacteria, toksin, virus, racun dan sebagainya yang sangat memudaratkan manusia.

Subahanallah, Segala puji bagi Allah yang Maha Menyayangi hamba-hambaNya. Maha Luasnya ilmu Allah… masih banyak yang belum kita terokai…

2006/05/22

Kenangan dari Masjidil Haram...


“Baba jangan lupa, ye. Nanti lepas solat, kakak ngan mama tunggu baba kat Pintu Marwa. Ba’das-solah fauran, ya baba.” Sebelum melangkah masuk melalui babussalam, saya ingatkan ayah tentang janjinya untuk membawa saya shopping kitab di sekitar masjidil haram selepas solat asar petang itu.

“Toyyib, Insya Allah”. Jawapan itu meyakinkan.

Seperti yang dijanjikan, kami bertemu di Pintu Marwa selepas solat asar dan solat jenazah. Hampir setiap kali selepas waktu solat, ada solat jenazah, sehingga saya pernah terfikir, bagus juga ya kalau mati di Mekah ni.

Memang puas saya membelek buku petang itu. Ibu dan ayah pun. Sebenarnya saya mencari sesuatu. Saya dah jumpa kitab Qiraat yang Ustaz Rahim syorkan. Tapi saya masih belum jumpa mushaf Al-Quran yang saya inginkan. Saya nak beli sebuah mushaf rasm Uthmani yang baru, yang sesuai dengan saya yang rabun ni. Yang tulisannya besar dan jelas tapi mushaf tu bukan yang besar. Yang bersaiz mudah dibawa kemana-mana. Yang ada tafsir,dan yang cantik, bukan yang hitam putih saja. Hmmm…pilih mushaf Al-Quran pun cerewet? Puas saya membelek sendiri setiap mushaf Al-Quran dikedai tu. Pilihannya sangat banyak, tapi hairan, tiada satu pun yang betul-betul kena dengan apa yang saya mahukan. Sampai saya termenung sendiri.

“Fi syai’ kaman, ya habibti?” (Ada apa-apa lagi –nak beli-, sayang?) Tanya ibu.
“Hmm…”. Saya tak tau nak cakap macam mana.
“Tak de dah kot ma…”
Ayah pun membayar buku-buku yang telah kami beli. Kami pulang semula ke Masjidil Haram untuk menunggu Solat Maghrib.

Keesokannya, pagi-pagi lagi saya dan rombongan berkumpul dihadapan hotel. Pagi itu kami akan buat umrah kali terakhir sebelum berangkat ke Madinah pada hari berikutnya. Apabila masuk ke dalam Masjidil Haram, saya keluarkan mushaf Al-Quran saya dari dalam beg sandang dan letakkannya di atas rak Al-Quran disitu. Agak berat kalau saya nak letak dalam beg sandang semasa melakukan tawaf dan sa’ie. Nanti bila dah selesai tahallul, saya akan ambil semula.

Selesai tawaf, sa’ie dan tahallul, saya dan ibu terduduk disitu. Penat juga. Perut pun dah lapar. Saya tak bertangguh lagi apabila Ustaz Yusaini, ketua rombongan kami mengajak ayah dan ibu pekena nasik beriani di sebuah restoran. Saya terlupa tentang mushaf saya yang tertinggal di Masjidil Haram, sehinggalah pulang ke bilik.

Petangnya, setelah selesai solat zohor, saya mencari mushaf saya. Tiada! Habis semua rak dikawasan itu saya periksa, tiada juga. Setiap orang yang ada disitu saya perhatikan, kalau-kalau mereka ada mengambil dan membaca mushaf saya. Tiada juga. Agak lama, baru saya perasan satu perkara, mushaf di dalam masjidil haram itu semuanya seragam! Jadi, ada kemungkinan mushaf-mushaf yang tidak seragam, termasuk mushaf saya itu dikumpul oleh pekerja masjidil haram. Saya minta ibu tanyakan pada seorang pekerja. Memang tepat apa yang saya jangkakan. Jadi bagaimana? Pekerja tersebut minta kami tanyakan seoarang pegawai yang duduk di dalam sebuah ofis kecil di masjid itu, kalau-kalau saya boleh dapat semula mushaf saya. Daripada pegawai itu, kami dapat tahu ada sebuah tempat bersebelahan Masjid, tempat untuk mencari barang-barang hilang yang dikumpulkan disitu. Saya dan ibu gegas ke sana. Ah, tutup pula. Sudah tutup untuk hari itu. Esok baru buka semula. Sedangkan, esok sesudah subuh dan tawaf wida’ kami akan berangkat ke Madinah.

“Camana ni ma... kakak sayang Quran kakak tu. Dalam tu ada sekali kakak punya catatan hafazan. Esok pagi-pagi kita dah nak pergi Madinah” saya mengeluh pada ibu, sayu.

Agaknya ibu kasihan melihat saya, lalu ibu ajak saya bertemu pegawai tadi sekali lagi. Ibu ceritakan keadaan kami dan minta bantuannya. Pegawai itu tidak berjanji apa-apa, cuma berpesan pada kami supaya menemuinya selepas subuh esok di ofisnya itu.

“Betul ke boleh dapat balik ni ma? Dia tak tanya pun mushaf kakak tu macam mana bentuknya. Camana lak dia boleh nak tolong cari dan bagi balik kat kakak?”

“Tak pe lah. Kita datang je esok. Kalau ada rezeki, adalah. Kalau tak ada pun tak apalah. Niat sedekah aje. Mudah-mudahan ada orang lain yang guna, kakak dapat pahala”.

Memang pegawai itu di situ keesokannya. Dia menepati janji. Walaupun dari susuknya dapat dilihat bahawa dia ini orang yang ada ‘haibah’ dan ‘ihtiram’ (kehebatan dan terhormat-orang besar-besar la), tapi tetap memuliakan tetamu Allah seperti kami, orang kebanyakan ini. Tak seperti pekerja yang asyik menghalau kami apabila mahu berlama-lamaan di hijr ismail (atau di raudhah Masjidin Nabi) Tapi apabila orang kenamaan Saudi yang datang, habis dikawal ketat. Diberi keselesaan untuk tawaf dan diberi masuk ke dalam kaabah. Depan Baitullah pun masih nak mengira status!

Salam kami di sambut ramah oleh pegawai itu, dia cam kami. Kemudian dia tunjukkan 2 mushaf Al-Quran. Satu untuk ibu, satu untuk saya.Tapi itu bukan mushaf saya. Katanya, susah untuk saya bertemu semula dengan barang yang hilang, sebab terlalu banyak yang dikumpulkan. Memang mereka mengumpulkan mushaf yang ditinggalkan dan tidak seragam dengan mushaf al-haramain. Mushaf yang mereka kumpulkan itu mereka waqafkan di sekolah-sekolah. Saya lega mendengar berita itu.

Dua mushaf yang dihadiahkan pada kami itu saya ambil dan saya buka. SubhanalLah, cantiknya mushaf ni. Betul-betul kena, betul-betul tepat seperti mushaf yang saya idam-idamkan. Alhamdulillah!

Ya Allah, Maha Mendengarnya Allah. Saya tak pernah berdoa pun meminta pada Allah memberikan mushaf Al-Quran seperti yang saya mahu. Malah sejak mushaf saya hilang, saya tak langsung menadah tangan berdoa memohon ia dijumpai semula. Tapi Allah Maha Mendengar. Sehingga apa yang ada dilubuk hati saya, yang tak pernah saya suarakan pada ibu dan ayah, tiba-tiba Allah tunaikan sekelip mata. Maha Agungnya Allah yang Maha Mengetahui segala yang tersurat dan tersirat. Kita takkan dapat menyembunyikan apa-apa pun dari DIA walaupun sebesar zarah. Saya sangka, keinginan saya untuk mempunyai mushaf yang saya mahu itu hanya satu perkara yang kecil, tak perlu doa pun tak apa. Rupanya Allah mengetahui betapa saya amat memerlukannya dan DIA kabulkan hasrat saya dengan cara yang tidak saya duga.

Ini baru cerita saya…
Belum lagi cerita Cik Jah, yang berdoa mohon diterangkan penglihtannya supaya tak payah pakai spec lagi. Allah kabulkan di sana.
Juga, cerita Pak Cik Mail yang tawaf bersama abangnya yang telah meninggal dunia. Pak Cik Mail kemudian meninggal dunia tak sampai 24 jam setelah pulang ke Malaysia. Al Fatihah untuk arwah Pak Cik Mail.

*Kenapa tiba-tiba teringat Masjidil Haram ye? Saya memang sangat rindu untuk sujud di hadapan BaitulLah lagi. Setiap kali hari jadi saya, 19 Mei, saya pasti akan teringatkan Masjidil Haram. Itu hadiah birthday yang paling bermakna - umrah! Hadiah yang tidak dirancang sebagai hadiah. Alhamdulillah!

Sanah helwa ya gameel !

Ingat-ingat, kematianku makin dekat!


2006/05/18

Kaedah-kaedah Penting Menghafaz Al-Quran


KAEDAH-KAEDAH PENTING UNTUK MENGHAFAZ AL-QURAN AL-KARIM

  1. Ikhlas. Ia adalah rahsia taufiq dan kejayaan daripada Allah s.w.t.
  2. Menghafaz diusia kecil kerana ia adalah seperti memahat pada batu.
  3. Memilih waktu yang sesuai.
  4. Memilih tempat yang sesuai.
  5. Membaca dengan bacaan yang baik dan berlagu amat membantu dalam menghafaz.
  6. Menghadkan pada satu jenis Mushaf Al-Quran sahaja supaya kekal dalam ingatan.
  7. Memperbetulkan bacaan Al-Quran dengan guru sebelum menghafaz (Talaqqi).
  8. Proses ‘mengikat’ antara ayat dengan ayat membuat hafazan lebih kuat.
  9. Proses mengulang-ulang ayat hafazan untuk mengelak daripada ayat tersebut hilang atau lari.
  10. Menghafaz setiap hari secara tersusun lebih baik daripada menghafaz dengan tidak tersusun atau jarang-jarang.
  11. Menghafaz dengan suara yang lambat dan tenang lebih baik daripada cepat tapi tidak masuk dalam ingatan.
  12. Memberi tumpuan pada ayat-ayat yang serupa/ hampir serupa untuk mengelak daripada kekeliruan.
  13. Berhubung dan mendekati guru/sheikh yang meghafaz Al-Quran dan memelihara tajwid Al-Quran.
  14. Menumpukan penglihatan kepada ayat semasa menghafaz supaya terpahat dalam ingatan.
  15. Mengiringi hafazan dengan amalan soleh, ketaatan pada Allah s.w.t dan meninggalkan maksiat.
  16. Muraja’ah atau mengulang ayat/surah/juzu’ yang telah dihafaz supaya sentiasa kekal dalam ingatan.
  17. Pemahaman yang sempurna terhadap ayat Al-Quran adalah cara untuk mendapatkan hafalan yang baik.
  18. Keazaman dan keinginan yang tinggi untuk menghafaz Al-Quran serta pengharapan, doa dan sentiasa memohon bantuan Allah s.w.t.

Dipetik daripada Kaifa Tahfazul-Quranal-Karim, Dr. Yahya bin Abdul Razzaq Al-Ghauthany.

2006/05/17

Berhijablah!


Kan lebih cantik :)

2006/05/15

HIKMAH DISEBALIK PELAKSANAAN HUKUMAN ZINA

HIKMAH DISEBALIK PELAKSANAAN HUKUMAN ZINA

Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur, ayat 2, bermaksud:

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.”

Dari ayat tersebut, diterangkan bahawa hukuman ke atas penzina lelaki dan perempuan yang merdeka, berakal dan belum berkahwin adalah disebat dengan seratus sebatan setiap seorang. Manakala hukuman bagi penzina yang telah berkahwin ialah direjam dengan batu sehingga mati. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibn Mas’ud r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “Tidak halal darah orang islam kecuali berlakunya salah satu daripada 3 perkara iaitu orang yang telah berkahwin berzina, orang membunuh dengan sengaja dan orang keluar dari agamanya, dan orang yang berpecah dari jamaah orang-orang muslim”.

HAD ZINA ELAKKAN AIDS ??

Di dalam badan manusia terdapat satu sistem pertahanan badan yang dipanggil sistem imuniti. Sel yang paling berperanan di dalam menghasilkan sistem pertahanan badan ialah sel darah putih.Apabila virus AIDS menyerang manusia, sistem pertahanan badan T4 Limfosit akan dimusnahkan dengan cara virus AIDS itu melekatkan dirinya dipermukaan T4 Limfosit bagi menggagalkan fungsi T4 Limfosit sehingga manusia mengalami kelumpuhan sistem pertahanan badan atau AIDS (Acquired Immunologic Deficiency Syndrome). Sekiranya seorang penzina itu sudah dihinggapi HIV selepas perzinaannya, T4 Limfositnya akan diserang oleh HIV AIDS yang akan menyebabkan sel-sel T4 Limfosit musnah, sel sum-sum tulangnya mati dan tidak dapat lagi meghasilkan sel-sel T4 yang baru dengan jumlah yang banyak kerana sebahagian dari darah putih itu bertukar menjadi benih manusia. Badan akan lemah dan sindrom kurang daya tahan melawan penyakit akan menyerang. Pesakit jenis ini mempunyai kemungkinan utuk disembuhkan tetapi dengan syarat; ia mesti didera dan badannya mesti mengalami kerosakan sel yang banyak bagi merangsang penghasilan sel-sel T4 yang baru serta menggalakkan sum-sum tulang mengeluarkan antibodi yag baru. Cara yang terbaik adalah dengan menyebat dibahagian belakang tulang belakang manusia di kawasan antara bawah tengkuk dan di atas pinggang bahagian belakang tubuh manusia, dengan sebatan yang akan merangsang penghasilan semula antibodi T4 yang baru dan pesakit tersebut boleh sembuh dari AIDS selepas antibodi sel-sel T4 Limfosit menjadi dua kali ganda jumlahya daripada jumlah virus AIDS di dalam tubuh badan manusia dan ia menjadi lebih dominan daripada virus AIDS sehingga ia dapat memusnahkan virus AIDS dan terselamat daripada penyakit AIDS.

Bagaimanapun, jika pesalah tersebut adalah mereka yang telah berkahwin, apabila dihinggapi virus AIDS, sel-sel T4 mereka telah lemah berbandig dengan sel-sel T4 kepunyaan mereka yang belum berkahwin. Kelemahan ini berpunca daripada sum-sum tulang yang kurang meghasilkan antibodi kerana fungsinya lebih banyak ditumpukan ke arah menghasilkan benih-benih bagi tujuan menghasilkan sperma-sperma baru. Pesalah jenis ini tidak dapat diselamatkan daripada virus AIDS dan rejam sehingga mati merupakan penyelesaian terbaik bagi mengelakkan jangkitan dan penyebaran penyakit disamping memberikan pengajaran yang menyebabkan orang lain takut untuk melakukan kesalahan yang sama.

Rujukan: Al-Quran dan Sains, Dr. Hj Jamnul Azhar bin Hj Mulkan

2006/05/14

Muslimah di Medan Dakwah

MUSLIMAH DI MEDAN DAKWAH

Sebagai agen dalam membawa perubahan dan perbaikan dalam masyarakat, wanita harus mempunyai ‘modal’ yang baik. Jika tidak, perubahan ke arah kebaikan tak mungkin wujud dengan segera.

Pertama, kesolehan. Bahagian terpenting dalam memperbaiki masyarakat ialah keteladanan. Bagaimana mungkin seseorang bisa menjadi agen perubahan kalau dirinya sendiri bermasalah. Seorang wanita harus menjadi cermin; cermin dirinya, keluarga dan masyarakat. Sebab, titik pertama yang dipandang oleh masyarakat pada diri seseorang adalah diri dan keluarganya. Ciri ‘solehah’ ini juga berkait rapat dengan mutu atau kualiti diri seseorang wanita itu. Justeru, wanita perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu shariah dan menguasai ilmu-ilmu dasar; ilmu Al-Quran, bahasa arab, hadis dan tafsir di samping menguasai ilmu-ilmu semasa dan mempunyai wawasan islam yang utuh.

Kedua, fasih berbicara. Sebagai da’iyah, berbicara merupakan modal yang amat penting. Kesolehan wanita tidak mampu berfungsi dengan baik jika tidak mempunyai kemampuan berbicara yang baik. Para sahabiyat telah memberikan contoh yang terbaik dalam hal ini. Misalnya Aisyah bintu Abu Bakar dan Asma’ bintu Yazid. Kemampuan berbicara ini tidak terbatas pada ceramah di depan khalayak ramai. Lebih penting dari itu adalah kemampuan berkomunikasi dengan orang lain atau mad’u yang pelbagai ragam. Justeru, penguasaan bahasa dan tradisi dalam sesuatu komuniti masyarakat adalah sangat penting.

Ketiga, bijak. Hikmah dan kebijaksanaan adalah anugerah Allah pada hambaNya. Firman Allah Ta’ala bermaksud, “Allah memberikan hikmah kepada siapa yang dikehendakiNya. Dan barangsiapa yang diberikan hikmah sesungguhnya telah diberikan kebajikan yang banyak.” (Al-Baqarah:269). Tanpa hikmah dan kebijaksanaan dalam berdakwah, seringkali menyebabkan tujuan tidak tercapai dan timbul kesalahfahaman. Termasuk dalam kategori hikmah adalah meletakkan mad’u pada posisinya. Jika ia seorang yang jahil, maka diperlakukan sesuai dengan keadaannya. Jika ia seorang yang berilmu namun mempunyai sikap tafritd (menyia-nyiakan), ihmal (meremehkan) atau ghaflah (melalaikan), maka diperlakukan juga sewajarnya . Begitu juga jika dia seorang yang berilmu namun suka bersikap sombong dan menolak kebenaran, maka ada cara tersendiri dalam bergaul dengannya.

Inilah yang diteladankan oleh Rasulullah s.a.w. Suatu ketika, Muawiyah bin Hakam solat bersama Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba ada seorang yang bersin dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’. Muawiyah lalu mengucapkan ‘Yarhamukallah’. Seketika itu juga para sahabat memandangnya dengan marah. Muawiyah berkata, “ Celaka kamu”. Lalu para sahabat menepuk paha masing-masing sebagai isyarat agar dia diam. Setelah solat, Rasulullah s.a.w memanggil Muawiyah dan berkata bahawa solat itu tidak boleh ada perkataan manusia di dalamnya walau sedikit pun, solat hanyalah takbir dan membaca Al-Quran. Mu’awiyah lalu berkata,”Aku tak pernah melihat seorang guru yang lebih bagus cara mengajarnya daripada Rasulullah s.a.w. Demi Allah, beliau tidak membentakku dan tidak pula mengherdikku”.

Keempat, mampu mendidik dengan baik. Wanita mesti mampu mendidik anaknya dengan baik kerana anak-anak adalah harapan masa depan dan agen penerus dakwah. Pada awal pertumbuhannya, anak-anak lebih banyak bergaul dengan ibu. Akhlak dan perilaku ibu mempunyai pengaruh yang besar pada anak. Justeru, pendidikan anak perlu diberi perhatian serius. Jika seorang ibu tidak mampu mendidik anaknya dengan baik, maka dia hendaklah berusaha mencari pendidik yang baik untuk anaknya. Seorang wanita tidak boleh menyerah diri dengan keadaaan atau kelemahan dirinya dan berdiam diri. Sesuatu perlu dilakukan sebagai usaha membuat perubahan kearah kebaikan.

Kelima, giat dalam berdakwah. Seorang wanita mesti giat dalam meninggikan taraf keilmuannya, kaumnya dan masyarakatnya. Bukan sahaja menjadikan dirinya solehah tetapi juga mengajak manusia kearah membina generasi dan membentuk masyarakat yang soleh dan solehah. Berdakwahlah walau dengan sepotong ayat. Berdakwahlah dengan menunjukan akhlak yang mulia. Berdakwahlah melalui pelbagai wasilah yang tersedia. Pahala dari ilmu yang bermanfaat akan terus mengalir walaupun kita telah meninggal dunia.

Berdakwahlah!

2006/05/12

INGIN MENGHAFAZ AL-QURAN?? TERUSKAN NIAT ANDA!!

Firman Allah Ta’ala di dalam Al-Quran, maksudnya, “Dan sesugguhnya telah kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran (liz-zikr). Maka adakah orang yang mengambil pengajaran?” (Al-Qamar:17)

Berkata Al-Qurtubi rahimahulLah, maksudnya di sini ialah, Allah Ta’ala memudahkan Al-Quran itu untuk dihafal dan Allah akan membantu sesiapa yang ingin menghafalnya.

Dalam ayat yang lain, Allah Ta’ala berfirman yang maksudnya, “Sesungguhnya Al-Quran itu adalah ayat-ayat yang nyata di dalam hati orang-orang yang diberi ilmu” (Al-Ankabut:49)

Begitulah Allah menerangkan kehebatan hati yang didalamnya tersimpan kalam Allah ‘Azza wa Jalla, dengan menyifatkan mereka itu sebagai orang-orang yang diberi ilmu. Sesugguhnya Allah memilih segolongan dari hambaNya untuk diterangi hati mereka dengan Al-Quran. Inilah keistimewaan ummat ini.Agama Islam yang diwahyukan untuk ummat seluruh alam dan kitab suci Al-Quran yang menjadi panduan untuk segenap manusia yang berbeza warna, kulit dan bahasa. Dianugerahi pula dengan para solihin, ulama’ dan huffaz yang bukan terdiri dari bangsa arab sahaja malah sebahagian besarnya adalah orang ‘ajam (bukan berbangsa arab) namun lidah mereka fasih membaca Al-Quran yang berbahasa arab. Demikianlah mukjizat Al-Quran.!

Melentur buluh biar dari rebungnya


Didiklah anak mengenal Al-Quran sedari kecil ....

2006/05/11

Kelebihan membaca dan menghafaz Al-Quran

"Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Qur'an dan mengajarnya" (Hadith riwayat Bukhari)

"Mereka yang membaca Al-Qur'an dan dia mahir didalamnya maka ia bersama para malaikat pencatit yang mulia. Mereka yang membaca Al-Qur'an sedangkan ia tidak lancar bacaannya dan payah baginya untuk membaca maka untuknya dua pahala." (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

"Bacalah Al-Qur'an kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat memberi syafaat kepada pembacanya." (Hadith riwayat Muslim)

"Tiada ada hasad kecuali pada dua perkara: Orang yang Allah berikan kepadanya Al-Qur'an maka dia membacanya siang dan malam. Dan orang yang Allah berikan kepadanya harta maka ia menafkahkannya siang dan malam." (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

"Sesiapa membaca sehuruf dari Al-Qur'an maka untuknya satu kebajikan, dan setiap kebajikan digandakan sepuluh kali. Aku tidak berkata Alif-Lam-Mim itu satu huruf, tetapi Alif adalah huruf, Lam adalah huruf dan Mim adalah huruf." (Hadith riwayat Tarmidzi)

"Berkata Allah s.w.t.: Sesiapa yang disibukkan dengan membaca Al-Qur'an dan mengingati Aku daripada meminta sesuatu dari Aku, maka Aku akan memberikannya lebih baik dari apa yang diminta oleh orang lain. Dan kelebihan perkataan Allah (Al-Qur'an) atas perkataan-perkataan lain adalah seperti kelebihan Allah atas makhluknya." (Hadith riwayat Tarmidzi)

"Bacalah Al-Qur'an kerana Allah s.w.t tidak mengazabkan hati yang menyimpan Al-Qur'an. Dan sesungguhnya Al-Qur'an ini adalah jemputan Allah. Siapa yang mendatanginya maka ia akan merasa keamanan. Dan sesiapa yang cinta akan Al-Qur'an maka bergembiralah." (Hadith riwayat Ad-Darimy)

Ya Hamalatal Quran

Haflah Khatmul-Quran, CAC, 28/2/06
Rector's CCAC Message.
Ya Hamalatal Quran

Alif, Lam, Mim…
Bukan satu ayat, tapi satu huruf
Setiap alif adalah sepuluh
Setiap lam dan mim adalah sepuluh
Setiap huruf yang dilagukan adalah sepuluh

Tertib dan tartil…
Tajwid dijaga, harakat biar sempurna
Waqaf dan wasal mesti sekata

Usah sedih jika bertatih
Pada bertatih itu ada rahmat dan kasih Allah

Usah gopoh-gapah tuturkan lisanmu
Ini bukan kalammu tapi kalam Tuhanmu
Dipilih insan -insan dari kalangan hambaNya
Untuk diletakkan Al-Furqan dalam dadanya

Maha Suci Mu Ya Rabbi
Kulihat KeagunganMu dalam mukjizat ini

Nikmatnya…
Bila yang satu ini tersimpan dihati
Seolah-olah menemani ke sana ke sini
Seorang atau ramai, Ia tetap di sisi
Terang atau gelap, tetap setia mendampingi
Pendinding diri dari yang mungkar dan keji

Sungguh…
Ia adalah beban
Namun beban yang mengasyikkan
Membajai cinta pada Ar-Rahman
Menyulam rindu dalam ketaatan
Ada kedamaian dan ketenangan
Itmi’nan…

Tiap kali ku alunkan lagu tarannum
Pada bacaan atau pada ingatan
Hati berbisik memohon pada Tuhan…
Ya Zal-Jalali-wal-Ikram
Jangan palingkan ia dari ingatanku
Inilah cahaya hidupku, dambaanku
Bukti cintaku padaMU

Sengsaranya diri…
Bila ia lari dari sisi
Peritnya mahu mencari
Kemanakah menghilangnya pergi
Ia yang pernah ku timang, ku alun dan ku lagu
Yang merawat dan menghibur kedukaanku

Usah Tanya kemana ia wahai diri yang hina
Ia adalah Nur Ilahi
Cahaya yang menerangi
Mana mungkin memberi seri
Pada hati yang dicemari
Bartaubatlah diri
Hati yang suci usah dinodai
Agar cahaya yang murni hadir kembali

Ya Hamalatal Quran…
Ingat-ingat dan waspada
Jangan sampai luput apa yang di dada

Ta’ahhadu…
Itqan dan sabarlah
Ini bukan kerja mudah
Pahala dan syurga maharnya bukan murah
Biar berpenat dan susah
Asal kau raih MARDHATILLAH.
-Wehdah-